COP26 berakhir dengan pakatan iklim global baharu

Hampir 200 negara yang mengambil bahagian menerima pakai Perjanjian Iklim Glasgow pada akhir sesi ke-26 Persidangan COP26. Foto Xinhua
Hampir 200 negara yang mengambil bahagian menerima pakai Perjanjian Iklim Glasgow pada akhir sesi ke-26 Persidangan COP26. Foto Xinhua
A
A
A

GLASGOW - Persidangan perubahan iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang dilanjutkan sehari lagi menutup tirainya di sini pada Sabtu menyaksikan perunding bersetuju dengan pakatan global baharu untuk menangani perubahan iklim, lapor Xinhua.

Hampir 200 negara yang mengambil bahagian menerima pakai Perjanjian Iklim Glasgow pada akhir sesi ke-26 Persidangan COP26.

Beberapa kemajuan menggalakkan telah dicapai berkaitan mekanisme pasaran karbon, merintis jalan bagi pelaksanaan berkesan perjanjian Paris untuk mengurangkan pelepasan melalui pendekatan berasaskan pasaran.

Perunding juga bersetuju untuk mengurangkan penggunaan arang batu yang menjadi sumber dominan pelepasan karbon dioksida dalam proses penjanaan elektrik.

Lebih 100 negara juga berjanji untuk menamatkan penebangan hutan menjelang 2030.

Persidangan itu turut memperlihatkan China dan Amerika Syarikat mengeluarkan deklarasi bersama mengenai meningkatkan tindakan terhadap perubahan iklim pada 2020-an, yang disambut baik semua pihak dan dipercayai akan merangsang tindakan kolektif global.

Bagaimanapun, masih terdapat beberapa isu pokok yang masih gagal diselesaikan sepenuhnya terutamanya berkaitan pembiayaan iklim.

Terdapat komitmen untuk meningkatkan sokongan kewangan melalui Adaptation Fund kerana negara maju digesa menggandakan bantuan mereka kepada negara membangun menjelang 2025.

Artikel Berkaitan:

Namun, ia masih menimbulkan persoalan sama ada negara maju yang bertanggungjawab terhadap kebanyakan kesan perubahan iklim hari ini akan mematuhi jangka masa ditetapkan.

Pada 2009 negara kaya berikrar bantuan bernilai AS$100 bilion setahun untuk membantu negara berpendapatan rendah menjelang 2020. Bagaimanapun, mereka masih belum memenuhi ikrar tersebut dan laporan terbaharu menunjukkan bahawa matlamat ini dilanjutkan ke 2023.

COP26 yang bermula 31 Oktober adalah persidangan perubahan iklim pertama selepas pusingan semakan lima tahun di bawah Perjanjian Paris ditandatangani pada 2015. Bandar Sharm El Sheikh, Mesir akan menjadi tuan rumah COP27 pada 2022. - Bernama