PM lawat bilik gerakan BN, dekati golongan memerlukan

Ismail Sabri (dua, kanan) bertanyakan khabar kepada sebahagian peniaga ketika melakukan lawatan di Medan Selera Asahan pada Ahad. - Foto Bernama
Ismail Sabri (dua, kanan) bertanyakan khabar kepada sebahagian peniaga ketika melakukan lawatan di Medan Selera Asahan pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad mengadakan lawatan ke beberapa bilik gerakan jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) bagi menemui calon-calon parti itu yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Naib Presiden UMNO itu juga meluangkan masa bersarapan dan menjamu selera di beberapa lokasi dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), selain singgah menyantuni golongan yang memerlukan.

Ismail Sabri memulakan lawatannya dengan singgah bersarapan di sebuah gerai ‘coconut shake’ di Medan Selera Kampung Alai, Telok Mas.

Peniaga gerai berkenaan, Farrah Liyana Mustafa berkata, beliau berasa teruja dan gementar apabila Perdana Menteri tiba dan memilih minuman dari kedainya sebagai penghilang dahaga.

Peniaga berusia 31 tahun itu berkata, selama 20 tahun kedai warisan keluarganya dibuka, inilah pertama kali seorang pemimpin negara singgah di kedainya.

“Dalam banyak-banyak kedai ‘coconut shake’ di Melaka, beliau memilih merasa minuman terkenal negeri ini di tempat saya. Memang mengujakan,” katanya ketika ditemui pemberita.

Ketika singgah di Medan Selera Kampung Alai, Telok Mas berkenaan, Ismail Sabri sempat menyapa kira-kira 30 pelanggan, yang sedang bersarapan di medan selera itu.

Selain coconut shake, Ismail Sabri turut menikmati nasi goreng dan pelbagai kuih sebelum bergerak meninggalkan tempat tersebut sekitar jam 9.30 pagi.

Artikel Berkaitan:

Beliau kemudiannya bergerak ke Cafe Mama, Solok Duku, Lendu dan tiba sekitar jam 10.45 pagi dengan disambut oleh calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Di restoran berkenaan, beliau menjamu selera dengan masakan lemak cili padi, asam pedas Melaka, ulam-ulaman dan pelbagai jenis kuih.

Pengunjung restoran tersebut juga mengambil kesempatan untuk bergambar dengan pemimpin negara itu, sebelum beliau bergerak menuju ke lokasi seterusnya kira-kira jam 11.20 pagi.

Ismail Sabri kemudian berkunjung ke restoran Mama Yan Selera Kampung Masjid Tanah dalam kawasan DUN Lendu, sebelum makan tengah hari di Medan Selera Selandar, Alor Gajah dalam kawasan DUN Asahan dan sempat menikmati juadah sate di situ.

Perdana Menteri turut berkunjung ke Kafe Markisa dalam kawasan DUN Rim dan tiba di situ pada jam 2.30 petang dan meninggalkan kafe berkenaan pada jam 3.20 petang.

Antara yang hadir Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah, calon BN DUN Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.

Ketika di Baitul Tariq, Kelebang pada sebelah pagi, Ismail Sabri sebelum itu menyampaikan surat tawaran melanjutkan pengajian kepada anak sulung pegawai bomba, Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh yang lemas ketika menjalankan operasi menyelamat mangsa banjir di Sungai Putat, Ayer Keroh.

Di situ Ismail Sabri turut melawat calon Barisan Nasional (BN) antaranya Datuk Rais Yasin yang bertanding di DUN Paya Rumput, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad (Sungai Udang) dan Datuk Lim Ban Hong (Kelebang). - Bernama