Hujan lebat cetus banjir di Selatan Thailand

Hujan lebat telah menyebabkan banjir di lima wilayah di selatan Thailand. - Foto Bernama
Hujan lebat telah menyebabkan banjir di lima wilayah di selatan Thailand. - Foto Bernama
A
A
A

BANGKOK - Hujan lebat telah menyebabkan banjir di lima wilayah di selatan Thailand.

Menurut Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana, sejumlah 208 kampung dan 3,136 isi rumah di lima wilayah di selatan iaitu Ranong, Chumphon, Surat Thani, Nakhon Si Thammarat dan Songkhla terjejas selepas hujan lebat sejak Rabu.

"Wilayah Chumphon di selatan paling teruk terjejas dengan 153 kampung dan 2,683 isi rumah terjejas. Dua maut akibat banjir," menurut kenyataan jabatan itu di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Gabenor Chumphon, Samporn Patchimphet berkata, hujan lebat berterusan sejak Rabu menyebabkan banjir di lima daerah di wilayah itu.

"Sehingga kini, kira-kira 10,000 penduduk terjejas," katanya sambil menambah banjir turut menyebabkan Lebuh Raya 41 menghubungkan Selatan Thailand dengan Bangkok terpaksa ditutup.

Sementara itu portal bahasa Inggeris, The Nation melaporkan perkhidmatan kereta api di selatan antara Stesen Sawi di Chumphon dan Khao Suan Thurian telah dibatalkan akibat banjir kilat.

Lapan perkhidmatan kereta api dibatalkan akibat banjir, lapor portal itu.

Jabatan Kaji Cuaca Thailand berkata, monson Timur Laut melanda Teluk dan Selatan Thailand mengakibatkan hujan lebat.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai perlu berhati-hati kerana keadaan mungkin menjadi semakin buruk mencetuskan banjir kilat.

"Penduduk di pesisir Teluk diminta berhati-hati dengan kemungkinan ombak besar," menurut kenyataan itu. - Bernama