Calon bebas dakwa ditawarkan RM50,000

Mohd Erfan Mahrilar - Foto Bernama
Mohd Erfan Mahrilar - Foto Bernama
A
A
A

ALOR GAJAH - Calon Bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, Mohd Erfan Mahrilar teguh dengan pendirian tidak akan melompat ke mana-mana parti sekiranya menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Mohd Erfan mendakwa, beliau telah ditawarkan RM50,000 oleh seorang individu yang mendakwa dari sebuah parti politik untuk menyertai parti tersebut sekiranya menang di DUN berkenaan pada Selasa lalu.

Menurutnya, lebih dua parti politik yang menghubunginya untuk berbuat demikian.

"Walaupun saya pernah aktif dalam dunia politik beberapa tahun lalu, tetapi saya tak kenal inidvidu terbabit dan dia memberitahu bahawa dia dari pusat.

"Bagaimanapun saya tetap dengan pendirian tidak akan melompat dan kami juga calon Bebas telah menandatangani SD akur janji," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Mengulas lanjut, beliau menjadi calon juga atas kehendak pengundi termasuk mereka turut membantunya dari segi kempen melalui media sosial.

Mengulas lanjut beliau berkata, isu lokaliti seperti banjir akan menjadi fokus utama kerana biarpun bertukar wakil rakyat sama ada dalam tempoh panjang atau pendek, masalah itu masih tiada berpenghujung.

"Saya berkelulusan arkitek dan akan menggunakan pengalaman itu bersama rakan-rakan kejuruteraan saya untuk membantu mengatasi masalah banjir, sekurang-kurangnya kita dapat mengurangkan masalah itu.

Artikel Berkaitan:

"Tidak ketinggalan agenda untuk membangunkan orang muda terutama peniaga-peniaga kecil di kawasan ini," ujarnya.

Kerusi DUN Durian Tunggal menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan Mohd Erfan (Bebas) berdepan Zahari Abd Kalil (BN), Jaafar Othman (PN) dan penyandang kerusi itu Datuk Sofi Wahab dari Pakatan Harapan (PH).