YPM teruskan Program Tuisyen PPR bantu pelajar B40

Azizah (lima dari kanan) menyempurnakan Majlis Perasmian Program Pembangunan Pendidikan PPR Wilayah Persekutuan di PPR Seri Semarak di sini.
Azizah (lima dari kanan) menyempurnakan Majlis Perasmian Program Pembangunan Pendidikan PPR Wilayah Persekutuan di PPR Seri Semarak di sini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 3,500 pelajar Tingkatan Lima di 13 Program Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Kuala Lumpur menerima manfaat menerusi Program Tuisyen PPR pada tahun ini.

Program di bawah Pembangunan Pendidikan Perumahan Rakyat (PPR) Yayasan Pelajaran Mara (YPM) melibatkan peruntukan sebanyak RM73,000 itu bermula sejak September lalu dan akan berlangsung selama 12 minggu.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, ia melibatkan empat pusat tuisyen iaitu PPR Laksamana, PPR Taman Wahyu, PPR Seri Semarak dan PPR Kerinchi.

"Seramai 3,500 pelajar terlibat dan program tuisyen percuma ini (sebenarnya) telah berlangsung di seluruh negara sejak beberapa tahun lalu, cuma untuk (pelajar Tingkatan Lima) PPR ini baharu dimulakan tahun ini.

"Kita fokus kepada kawasan-kawasan tertentu dengan melibatkan 13 PPR malah ia akan diteruskan tahun depan," katanya pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Pembangunan Pendidikan PPR Wilayah Persekutuan di PPR Seri Semarak di sini.

Program ini juga berjaya menarik minat syarikat-syarikat korporat terkemuka untuk menjadi sebagai penaja bersama.
Program ini juga berjaya menarik minat syarikat-syarikat korporat terkemuka untuk menjadi sebagai penaja bersama.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Khidmat Pengurusan Mara, Rohayah Mohd Zain, Pengerusi Eksekutif YPM, Datuk Dr Mohd Nizar Sudin dan wakil agensi dan penduduk PPR Semarak.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Azizah berkata, Program Pembangunan Pendidikan PPR merupakan inisiatif YPM bertujuan memberi ruang dan peluang kepada pelajar B40 untuk mendapatkan bimbingan serta pendedahan akademik melalui beberapa program disediakan.

"Selain daripada sumbangan tunai, program ini turut menyediakan Program Tuisyen PPR, Selangkah ke Universiti, Usahawan Digital serta Celik al-Quran bagi memastikan kumpulan pelajar ini mendapat pendidikan terbaik secara berterusan," ujarnya.

Program itu juga berjaya menarik minat syarikat-syarikat korporat terkemuka sebagai penaja bersama seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), DRB-HICOM Berhad dan Rural Capital Berhad.

Pada majlis ini, Azizah turut menyampaikan sumbangan bantuan tunai persekolahan dan kit Covid-19 daripada Rural Capital Berhad (RCB) dan YPM dengan nilai keseluruhan RM14,600.00.

Sumbangan berkenaan dimanfaatkan kepada 100 orang pelajar berkaitan dalam komuniti PPR terbabit.

Untuk rekod, bagi tahun 2021, pelbagai program dan bantuan disalurkan kepada komuniti PPR di Wilayah Persekutuan melibatkan 3,600 penerima menerima manfaat dengan nilai keseluruhan bantuan sebanyak RM161,480.00.