X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 24 Januari 2022

Pindaan Undi 18 di Selangor bakal dibentang 26 November

Mohd Khairuddin pada sidang media di Townhall Undi18 Wacana Pemicuan Undi18 Negeri Selangor di Auditorium, Dewan Jubli Perak di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di sini pada Sabtu.
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan meminda had umur warganegara yang layak bertanding dan mengundi dalam pilihan raya daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, ia berkenaan kelulusan pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 15 Julai 2019 lalu iaitu Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan perenggan (b) untuk menurunkan umur warganegara yang layak bertanding dalam pilihan raya daripada 21 kepada 18 tahun.

Selain itu, pindaan turut dibuat pada Fasal 1 Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan perenggan (a) yang menurunkan umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Mohd Khairuddin berkata, pindaan tersebut akan dibentangkan semasa Sidang Dewan Negeri Selangor pada 26 November ini.

"Pindaan ini dibuat sebagai menunjukkan sokongan kerajaan negeri yang mendukung penuh inspirasi dan pembangunan belia di Selangor untuk masa depan negeri tersebut," katanya ketika sidang media di Townhall Undi 18 Wacana Pemicuan Undi18 Negeri Selangor di Auditorium, Dewan Jubli Perak di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di sini pada Sabtu.

Selain itu, Mohd Khairuddin berkata, program Townhall Undi 18 Wacana Pemicuan Undi18 Negeri Selangor di sini diadakan bagi mendekati pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan-persatuan belia untuk mendapat pandangan berkenaan Undi18 serta belia menjadi calon di Selangor.

Kata beliau, pihaknya akan mula mendekati golongan belia di seluruh Selangor bermula tahun hadapan bagi menyemai minat belia terhadap politik yang masih rendah.

"Kerajaan negeri akan turun ke daerah-daerah di Selangor untuk menyemai minat belia terhadap politik kerana kecenderungan mereka agak rendah.

"Bermula tahun depan, kita akan turun padang dan mendekati persatuan-persatuan belia di peringkat daerah," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!