Pemandu van sekolah dibebaskan dengan jaminan polis

Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut apabila dilanggar van sekolah yang dinaikinya dalam kejadian di hadapan sebuah tadika di Taman Dahlia, Bandar Baru Salak Tinggi di sini pada Jumaat.
Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut apabila dilanggar van sekolah yang dinaikinya dalam kejadian di hadapan sebuah tadika di Taman Dahlia, Bandar Baru Salak Tinggi di sini pada Jumaat.
A
A
A

SEPANG - Pemandu van sekolah yang dipercayai melanggar seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di hadapan sebuah tadika di Taman Dahlia, Bandar Baru Salak Tinggi di sini telah dibebaskan dengan jaminan polis pada Sabtu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Md Noor Aehwan Mohammad berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung kes kemalangan tersebut.

"Wanita warga tempatan berumur 31 tahun itu ditahan pada Jumaat dan dibebaskan pada hari ini," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Pada Jumaat, media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut apabila dilanggar van sekolah yang dinaikinya dalam kejadian di hadapan sebuah tadika di Taman Dahlia, Bandar Baru Salak Tinggi di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.10 tengah hari itu, mangsa yang baru pulang dari sebuah sekolah kebangsaan dihantar ke tadika tersebut sebelum pergi ke Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

Md Noor Aehwan berkata, selepas selesai menurunkan kesemua pelajar, van sekolah dipandu wanita tempatan berusia 31 tahun itu bergerak ke hadapan dan terlanggar mangsa yang pada masa sama sedang melintas.

"Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan dibawa ke unit kecemasan Nilai Medical Centre sebelum disahkan meninggal dunia sekitar jam 2.30 petang semasa menerima rawatan," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN:Budak tujuh tahun maut dilanggar van sekolah

ARTIKEL BERKAITAN:Pemandu van sekolah ditahan bantu siasatan