Tubuh koperasi, selesai isu perumahan antara visi Shanmugam

Shanmugam.- Foto fail Bernama
Shanmugam.- Foto fail Bernama
A
A
A

MELAKA - Menubuhkan koperasi untuk memacu aktiviti pertanian bagi golongan belia, menaik taraf Kolam Air Panas Gadek dan menyelesaikan isu perumahan antara perkara yang akan dilakukan calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek, VPP Shanmugam jika diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Shanmugam, 52, dalam satu temu bual melalui segmen Bicara Melaka kelolaan Studio Komunikasi BN berkata, beliau melihat banyak tanah terbiar di kawasan tersebut yang sesuai dijadikan kawasan pertanian baharu bagi membantu masyarakat terutama golongan belia menaik taraf kehidupan mereka.

"Kita boleh kumpulkan minimum 50 orang terutama golongan belia untuk menubuhkan koperasi ini. Selepas koperasi ditubuhkan, lebih mudah untuk kita memohon bantuan kerajaan terutama geran sekali beri (one-off grant) yang disediakan oleh kerajaan untuk memulakan aktiviti pertanian.

“Kerajaan menyediakan kemudahan geran sekali beri ini bagi membolehkan mana-mana pihak supaya mereka boleh membangunkan diri sendiri dan orang lain tetapi harus diingat geran ini perlu diuruskan dengan betul dan ia mesti mempunyai satu kepimpinan yang baik," katanya.

Penyelaras MIC, DUN Gadek itu berkata, selain itu, kawasan berkenaan terkenal dengan kolam air panas yang sangat berpotensi untuk dibangunkan sekali gus memberi peluang baharu kepada masyarakat di kawasan tersebut untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan.

"Kita boleh bangunkan kolam air panas ini seperti 'nightlife' Jonker Walk (di Banda Hilir). Usahawan boleh membuka gerai pada waktu malam. Dulu-dulu di Melaka ada gerai yang buka meja kecil, ada mi, nasi goreng, mihun goreng, kita duduk bersila dan bayar apa yang dimakan.

"Kalau kita boleh buat macam itu, pendapatan orang Gadek boleh dinaikkan tapi semua ini perlu dilakukan secara serius dan mempunyai pemimpin yang baik," katanya.

Mengenai isu perumahan pula, Shanmugam berkata, walaupun ada individu memiliki tanah yang diwarisi daripada ahli keluarga terdahulu, namun tidak semua mampu membina rumah sendiri.

Artikel Berkaitan:

"Golongan berpendapatan rendah mungkin hanya mampu membeli rumah Mesra Rakyat berharga RM42,000 dan golongan pertengahan pula dengan Rumah PR1MA yang diberi subsidi sebanyak RM180,000 oleh kerajaan. Saya akan cuba bawa kemudahan-kemudahan ini ke DUN Gadek bagi menyelesaikan masalah perumahan di sana," katanya.

DUN Gadek menyaksikan pertembungan enam penjuru antara Shanmugam, Azafen Amin (Bebas), Laila Norinda Maon (Putra), B.S Mohan Singh (Bebas), Mohd Amir Fitri Muharam (Perikatan Nasional) dan G Saminathan (Pakatan Harapan).

Kerusi berkenaan disandang Saminathan dengan majoriti 4,392 undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri. - Bernama