Tiada kempen bersemuka, PRN Melaka paling 'teruk'

Nazri
Nazri
A
A
A

MELAKA - Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Parlimen Alor Gajah, Nazri Kasim menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah paling 'teruk' dalam sejarah pilihan raya negara ini.

Nazri mendakwa, ini kerana demokrasi pilihan raya telah dicabuli apabila proses pilihan raya untuk pengundi memilih pemimpin sama ada calon itu layak untuk mewakili mereka atau sebaliknya tidak dapat melalui proses berkempen secara bersemuka.

Menurutnya, kesukaran itu juga tidak mustahil akan mempengaruhi peratusan rakyat untuk keluar mengundi kerana tidak mengenali calon yang bakal dipilih terutama calon muka baharu.

"Itu yang pertama saya nampak bila kita tidak dapat menghampiri pengundi, sebab pengundi biasanya seronok bila pemimpin datang.

"Tapi tidak berlaku hari ini, dan bagaimana mereka mahu melunaskan tanggungjawab mereka untuk keluar mengundi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut beliau berkata, sekiranya benar PRN Melaka menjadi contoh selepas ini bagi PRN Sarawak, sewajarnya mereka yang terlibat dalam menetapkan prosedur operasi standard (SOP) itu membuat kajian yang lebih mendalam dan relevan untuk diikuti.

"Kalau rumah-rumah di bandar seperti di Parlimen Hang Tuah Jaya, Parlimen Kota Melaka dan Parlimen Tangga Batu mungkin tidak menghadapi masalah sebab banyak taman perumahan dan mereka mempunyai peti surat untuk kita letakkan bahan kempen.

"Tapi adakah mereka memikirkan kawasan seperti Asahan, Masjid Tanah dan begitu juga dalam Parlimen Alor Gajah sendiri ada kawasan kampung tidak mempunyai peti surat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, SOP yang ditetapkan itu merupakan satu 'kesilapan' dan perlu diperbetulkan sebelum terlambat kerana bimbang kerajaan baharu yang akan dibentuk menjadi kerajaan lebih teruk pada hari ini.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan mengenai keluhan calon bertanding yang tidak dapat berjumpa pengundi dan berharap kelonggaran SOP dapat dipertimbangkan.