Jangan terpedaya gula-gula politik

No Image Caption
A
A
A

MELAKA - Gula-gula politik perlu dielakkan demi memastikan rakyat di bawah tidak terus merana ekoran permainan politik calon yang korup dan tiada integriti.

Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, pengundi di Melaka jangan mudah terpedaya dengan umpan yang mungkin cuba disajikan pada sesi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ketika ini.

“Rakyat Melaka perlu ajar mereka yang cuba membeli undi dengan menyogok atau memberi rasuah.

“Siapa yang akan rugi sebenarnya? Jika kita terima sogokan dan pemimpin tidak bersih menang, akhirnya negara boleh kehilangan berjuta-juta ringgit kerana pemimpin ini,” katanya.

Beliau berkata, sudah tiba masanya rakyat Melaka memberi pengajaran kepada semua pemimpin yang gagal melaksanakan urus tadbir dengan baik di negeri itu.

“Masyarakat hari ini sudah semakin celik dan mampu menilai pemimpin yang boleh bekerja dengan baik dan sebaliknya. Yang pasti di peringkat bawah, rakyat gelisah melihat landskap politik hari ini yang sering bergolak.

“Ketika rakyat masih sengsara dan bergelut dengan pandemik Covid-19, mereka ini masih mempamerkan sikap gila kuasa. Maka sewajarnya mereka ini diajar oleh rakyat kali ini,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan: