Idris Ahmad setuju debat libat calon Ketua Menteri

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Naib Presiden Pas, Senator Idris Ahmad bersetuju dengan cadangan agar satu debat terbuka dianjurkan kepada calon-calon Ketua Menteri dari parti yang bertanding di Melaka.

Beliau bagaimanapun berkata, debat itu perlulah melibatkan calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Eloklah buat benda itu. Tapi harap orang Melaka sahaja debat. Tak perlulah orang peringkat nasional berdebat.

“Biar calon-calon berdebat. Kalau dia (calon) debat, saya nak berdebat tak kena, saya bukan tanding situ,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Hadiah Ihtifal Kafa Kebangsaan (IKK) dan Majlis Ihtifal Ilmi Sekolah Menengah Agama Malaysia (MIISMAM) Norma Baharu 2021 di sini pada Jumaat.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis mencadangkan agar satu debat terbuka dapat dianjurkan oleh kerajaan kepada calon-calon Ketua Menteri dari parti yang bertanding di Melaka.

Menurutnya, cadangan tersebut adalah langkah terbaik dalam melonjakkan nama Malaysia sebagai negara demokrasi yang sihat dan matang.

Dalam pada itu, mengulas mengenai berapa jumlah disasarkan Perikatan Nasional (PN) untuk menang dalam PRN Melaka, Idris menyatakan bahawa beliau tidak boleh meramalkannya.

“Tengok hari pilihan raya nanti. Saya tidak boleh ramal lagi. Pilihan raya nanti kita tengok berapa menang.

Artikel Berkaitan:

“Kalau bagi tahu nanti (ini) strategi tak boleh bagi tahu dekat musuh,” katanya.

Sementara itu, Idris yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) turut ditanya mengenai adakah kursus asas haji pada tahun ini akan dibuat secara dalam talian.

“Itu nanti akan diputuskan oleh pihak Tabung Haji. Sekarang ini masjid-masjid sudah boleh buat kursus secara bersemuka. Nanti kita tengok.

“Kalau peringkat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sahaja mengatakan boleh, kalau negeri tak bagi buat, tak boleh buat juga. Itu libatkan negeri-negeri, ada pemegang taruh,” jelasnya.