Putrajaya dilanda ribut kencang

Foto Twitter
A
A

PUTRAJAYA - Pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan, di sini, dilanda ribut kencang dan hujan lebat selama 30 minit pada lewat petang tadi menyebabkan pokok tumbang di beberapa kawasan.

Ketua Balai Bomba Putrajaya Che Shaari Abdullah berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 6.10 petang daripada penduduk di kawasan terjejas antaranya Presint 9 dan Presint 11.

Katanya jentera bomba dengan kekuatan 18 anggota tiba di lokasi kejadian pada pukul 6.16 petang.

"Apabila sampai di lokasi kejadian didapati tiga pokok tumbang dan menghalang laluan jalan utama," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Che Shaari berkata kerja-kerja pembersihan pokok tumbang itu selesai pada pukul 7.58 malam.

Gambar dan rakaman video pokok tumbang menghempap kenderaan akibat kejadian ribut itu tular di media sosial.

Beberapa rumah penduduk dilaporkan turut rosak terutamanya pada bahagian bumbung, selain menyebabkan kerosakan kemudahan awam dan taman permainan kanak-kanak. -Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia