X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 03 Julai 2022

Ayuh berjuang habis-habisan di India

Lian Ker (hadapan; tujuh dari kanan) selepas pelancaran jersi rasmi pasukan hoki remaja di Stadium Hoki Bukit Jalil pada Jumaat. Foto Bernama
A
A

KAPTEN skuad hoki remaja kebangsaan, Mohamad Akhimullah Anuar Esook menuntut rakan sepasukan agar beraksi bermati-matian biarpun bakal berdepan laluan sukar pada saingan Piala Dunia Remaja Lelaki di Bhubaneswar, India dari 24 November hingga 5 Disember ini.

Walaupun Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama naib juara 2016, Belgium, Afrika Selatan dan pasukan meningkat naik dari Amerika Selatan iaitu Chile, Mohamad Akhimullah percaya mereka mampu memberi tentangan sengit dalam saingan di India itu.

“Saya mahu kita bermain dengan penuh semangat dalam setiap perlawanan dan diharapkan agar pemain berusaha bermati-matian untuk mencapai kemenangan,” katanya kepada pemberita di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis pelancaran jersi baharu pasukan pada kejohanan di India itu yang disempurnakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ti Lian Ker.

Hadir sama, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia, Datuk Seri Subahan Kamal.

Sementara itu, penggempur Pasukan Hoki Terengganu itu berkata, penampilan sebanyak 20 kali bersama pasukan senior mampu membantunya menggalas cabaran Malaysia di Piala Dunia Remaja Lelaki itu nanti.

Beliau memaklumkan, pengalamannya beraksi bersama pasukan senior banyak membantunya mendalami aspek teknikal dan memantapkan kemahiran individunya seterusnya dapat memberi panduan berguna membimbing rakan sepasukan di India.

Berdasarkan pemerhatian dalam sesi latihan ketika ini, pemain berusia 21 tahun itu mendapati pasukan muda negara menunjukkan prestasi positif usai menjalani Siri Jelajah United Kingdom 2021 baru-baru ini yang menyaksikan mereka mencatat dua kemenangan, satu seri dan lima kekalahan daripada lapan aksi di sana.

Dalam pada itu, Subahan menyifatkan penampilan skuad remaja di India itu sebagai medan persediaan untuk membantu beberapa pemain mengutip pengalaman secukupnya bagi Malaysia yang akan menganjurkan edisi seterusnya pada 2023.

Subahan juga berharap agar skuad kendalian Wallace Tan itu akan menampilkan aksi memberangsangkan seterusnya membantu negara mencapai keputusan membanggakan dalam kejohanan berkenaan.

Wallace pula memaklumkan skuadnya yang dijangka berlepas ke India pada 16 November, dijadual berdepan Belanda dalam aksi pemanas badan pada 22 November ini.

Malaysia akan membuka tirai kempen Piala Dunia Remaja Lelaki berdepan Chile pada 24 November diikuti Belgium (26 November) sebelum menamatkan saingan kumpulan menentang Afrika Selatan sehari kemudian.

Hanya dua pasukan teratas daripada empat kumpulan layak ke suku akhir. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!