Kerajaan digesa pantau pengeluaran lesen kelas F

Tukiman Radion
Tukiman Radion
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F (Perkobf) Malaysia memohon kerajaan memantau pengeluaran lesen bagi kumpulan tersebut bagi mengelak disalahgunakan golongan kartel.

Presidennya, Tukiman Radion mendakwa terdapat pihak tertentu menaja pihak ketiga untuk membuat lesen bagi memonopoli sesuatu projek.

Menurutnya, situasi tersebut telah menyebabkan berlakunya lambakan kontraktor baharu yang kini jumlahnya mencecah 40, 000 orang dalam tempoh dua tahun berbanding hanya 24,000 pada 2019.

"Kebanyakan mereka yang memohon lesen ini adalah kartel, ada yang menaja mereka buat lesen untuk monopoli.

"Jadi kami mohon isu ini dipantau dan kalau boleh pendaftaran lesen baharu ini dihentikan. Jangan buka pendaftaran lagi dan mencukupi dengan jumlah sedia ada, " katanya kepada Sinar Harian sewaktu Mesyuarat Perwakilan Tahunan Perkobf yang diadakan baru-baru ini.

Tukiman berkata, beliau mencadangkan agensi terlibat melakukan siasatan dan temu duga semula bagi memastikan kesahihan seseorang kontraktor yang diberikan lesen.

"Ini kerana permohonan sekarang dilakukan secara dalam talian, jadi sijil dan penyata perbankan ini boleh diragui sahih atau sebaliknya. Berbeza ketika zaman kita dahulu, kita perlu bawa sijil asli dan salinannya sekali," katanya.

Pada masa sama, beliau turut berharap kerajaan dapat memantau harga bahan binaan yang tidak terkawal di pasaran sekali gus menjejaskan periuk nasi kontraktor.

Artikel Berkaitan:

"Sejak Mei lalu hingga kini, harga barang berubah-ubah dan naik setiap dua minggu terutamanya besi serta bahan binaan asas lain termasuk paku dan skru.

"Kenaikan harga barang sangat tinggi sehingga mencecah 120 peratus. Ini menyebabkan ada dalam kalangan kontraktor yang telah mendapat tawaran terpaksa menolaknya kerana tidak mampu tanggung kos dan merugikan," katanya.