X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 27 Januari 2022

KPDNHEP Kelantan bantu rakyat elak penipuan dalam talian

Azanizam (kanan) menyaksikan penyerahan bakul makanan oleh Nik Raisnan di Kampung Gunung Reng, Jeli pada Jumaat.
A
A

JELI - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan sentiasa memberi pendedahan kepada masyarakat melalui pelbagai program bagi memastikan mereka tidak mudah terpengaruh dengan penipuan jualan dalam talian.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, statistik penerimaan aduan transaksi dalam talian seluruh negara sehingga September tahun ini mencatatkan sehingga 9,667 kes.

Menurutnya, statistik jumlah kerugian pengadu transaksi dalam talian pula mencatatkan lebih RM10.32 juta untuk tahun ini, jauh lebih tinggi berbanding tahun lalu iaitu RM8.3 juta.

"Penerimaan aduan tersebut kami peroleh daripada pelbagai saluran yang kami sediakan iaitu melalui portal rasmi, e-mel, aplikasi WhatsApps, bilik gerakan, surat rasmi atau pun pengadu hadir sendiri ke pejabat KPDNHEP yang terdekat.

"Kita juga akan membawa masalah berkenaan ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) untuk membantu mendapatkan semula tuntutan atau ganti rugi melibatkan pihak yang terlibat," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Azanizam sebelum itu hadir pada Majlis Penyampaian Bakul Makanan kepada 50 orang penduduk di Kampung Gunung Reng, di sini.

Majlis tersebut merupakan kolaboratif bersama Pejabat Jajahan Jeli yang diketuai oleh Ketua Jajahan Jeli, Nik Raisnan Daud yang turut menyampaikan bakul makanan berkenaan.

Mengulas lanjut, Azanizam berkata, ramai rakyat terbiasa dengan fenomena e-wallet, e-order dan ramai juga menjadi usahawan dalam talian.

Bagaimanapun, katanya, tidak semua masyarakat tahu bagaimana untuk menjadi pengguna yang bijak terutama untuk mengelak penipuan dan sebagainya.

"Oleh sebab itu kami sentiasa memberi pendedahan dan advokasi kepenggunaan di semua platform termasuk tip berbelanja dan mengelakkan pengguna ditipu.

"Kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut membantu mengekang penipuan dalam talian daripada terus mendominasi urus niaga norma baharu ini," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!