Ikan darat rezeki musim tengkujuh

Pintu air berhampiran Kampung Sri Tujoh, di sini, yang dibuka bagi mengelak kawasan sawah padi tenggelam akibat hujan lebat turut memberi rezeki buat penduduk sekitarnya apabila pelbagai jenis ikan seperti toman, keli, sepat dan patin diperoleh menerusi aktiviti menjala. - Foto Bernama
Pintu air berhampiran Kampung Sri Tujoh, di sini, yang dibuka bagi mengelak kawasan sawah padi tenggelam akibat hujan lebat turut memberi rezeki buat penduduk sekitarnya apabila pelbagai jenis ikan seperti toman, keli, sepat dan patin diperoleh menerusi aktiviti menjala. - Foto Bernama
A
A
A

TUMPAT - Pintu air berhampiran Kampung Sri Tujoh, di sini, yang dibuka bagi mengelak kawasan sawah padi tenggelam akibat hujan lebat turut memberi rezeki buat penduduk sekitarnya apabila pelbagai jenis ikan seperti toman, keli, sepat dan patin diperoleh menerusi aktiviti menjala.

Seorang penduduk Kampung Sri Tujoh, Zakaria Mamat, 52, berkata, sejak semalam dia bersama-sama rakan sekampung tidak menang tangan menjala ikan di lokasi berkenaan meraih rezeki yang tiba setiap musim tengkujuh itu.

Katanya, pintu air ini dibuka bagi membolehkan air dari kawasan sawah padi seterusnya Sungai Tapang mengalir keluar ke laut.

“Pembukaan pintu air bagi memastikan kawasan bendang dan jalan sekitar kampung-kampung di lokasi tersebut tidak tenggelam akibat hujan lebat yang berlaku sejak Rabu.

"Pembukaan pintu air turut membawa bersama pelbagai jenis ikan seperti toman, keli, sepat dan patin yang turut keluar apabila pintu air itu dibuka," katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Sri Tujoh, di sini pada Jumaat.

Bercerita lanjut, Zakaria yang bekerja sebagai buruh berkata, biarpun banyak ikan yang keluar dari pintu air tersebut, yang paling utama ialah teknik menjala bagi memastikan setiap tebaran membawa hasil.

“Air yang baru keluar dari pintu yang dibuka itu akan mengalir deras dan membentuk pusaran, waktu itu tak perlu tebar jala.

“Sebaliknya, apabila pusaran sedikit lemah, bagi kami yang berpengalaman dapat lihat ada buih akan timbul itu tandanya ada ikan di dalam pusaran air, itu waktu yang sesuai untuk menebar jala,” katanya yang memperoleh hampir 10 ekor ikan pelbagai jenis.

Artikel Berkaitan:

Bersyukur dengan rezeki yang diperoleh, Zakaria tetap mengamalkan langkah berjaga-jaga bagi memastikan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku dalam keghairahan menjala ikan darat, rezeki dalam musim tengkujuh ini.

Hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor mulai November hingga awal Januari 2022, susulan peralihan Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan hingga Mac tahun depan. -Bernama