Manifesto BN sekadar tindakan susulan pimpinan terdahulu

Mohamad (tengah) bersama calon BN DUN Lendu, Sulaiman (kanan) dan Mohd Khaled menunjukkan Manifesto BN bagi PRN Melaka 2021 dalam sidang media pada Rabu. (Gambar kecil: Mohammad Tawfik)
Mohamad (tengah) bersama calon BN DUN Lendu, Sulaiman (kanan) dan Mohd Khaled menunjukkan Manifesto BN bagi PRN Melaka 2021 dalam sidang media pada Rabu. (Gambar kecil: Mohammad Tawfik)
A
A
A

SHAH ALAM - Manifesto Barisan Nasional (BN) bertemakan ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’ menunjukkan bahawa kerajaan negeri Melaka selama ini tidak mempunyai kestabilan untuk memakmurkan negeri.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfiq Yaakub berpendapat, manifesto tersebut sekadar satu susulan terhadap apa yang telah dilakukan kerajaan negeri sebelum ini.

“Saya melihat tawaran itu perlu direalisasikan dengan segera sekiranya BN menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. Ia untuk memastikan manifesto tersebut tidak disamakan seperti manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang dicanang tetapi gagal dilaksanakan mengikut tempoh sepatutnya.

“Dalam konteks Malaysia, kita perlu menunjukkan parti mampu melaksanakan manifesto mereka dan bukan sekadar janji,” katanya.

Pada Rabu, BN melancarkan manifesto bagi menghadapi PRN Melaka bertemakan ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’ dengan merangkumi lima teras utama.

Mohammad Tawfiq berkata, BN tidak boleh mengambil ringan manifesto tersebut kerana rakyat sedang menilai usaha gabungan parti berkenaan.

“Kalau kita betul-betul mempamerkan kepada rakyat bahawa kita mampu mentadbir negeri, manifesto itu sewajarnya berpijak atas bumi yang nyata.

“Realitinya berdasarkan persekitaran politik dan ekonomi khususnya di Melaka. Kalau sekadar berjanji, kemampuan itu tiada dan saya tidak nampak perkara tersebut berjaya ditunaikan.

Artikel Berkaitan:

“Yang penting apa yang dijanjikan itu realistik dan tidak membebankan rakyat. BN mesti menjadi kerajaan bertanggungjawab menunaikan manifesto mereka. Itu formulanya” ujar beliau.

Tambahnya, kesemua parti yang mahu mentadbir negeri termasuk di peringkat Persekutuan perlu mempunyai kestabilan politik dengan majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri.