Semua calon PN akan tandatangani akujanji tentang rasuah

Muhyiddin - Foto fail Bernama
Muhyiddin - Foto fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Semua 28 calon Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan diwajibkan menandatangani surat akujanji menentang rasuah dalam tempoh sehari dua lagi.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia bagi menunjukkan komitmen gabungan parti itu dalam perjuangan memerangi rasuah.

"Teras dan pendirian PN ialah mendokong prinsip-prinsip menentang segala penyalahgunaan kuasa dan menentang segala bentuk rasuah.

"Kita tidak akan biarkan ia bermaharajalela dan kita akan menentukan layanan yang adil dan saksama kepada semua pihak dan (pastikan) tidak ada satu kelompok masyarakat yang tertinggal dan dibiarkan begitu sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pentas Pilih Raya Negeri (PRN) Melaka di Glenmarie Hotel & Golf Resort di sini pada malam Khamis.

Hadir sama, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN Melaka akan diadakan pada 20 November depan selepas empat Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN) menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mengulas lanjut, Presiden Bersatu itu berkata, perjuangan menentang rasuah itu adalah jaminan yang diberikan kerajaan PN yang lalu dan hal yang sama turut dijamin kepada rakyat di Melaka.

Artikel Berkaitan:

"Hal sebegini untuk memberitahu rakyat Melaka bahawa sebuah kerajaan yang kita harap akan terbentuk pada 20 November nanti adalah kerajaan yang dasar diamalkan berteraskan prinsip menolak rasuah," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, akujanji itu juga akan menjadi sebahagian daripada manifesto PN yang dijangka akan diumumkan dalam sehari dua lagi.

Menurutnya, manifesto itu akan menyenaraikan perkara-perkara utama yang difikirkan penting dan perlu diberikan perhatian supaya Melaka menjadi sebuah negeri atau kota dan bandaraya bersejarah yang lebih maju dan lebih makmur.

"Manifesto atau ikrar yang akan dibentangkan ini akan menjelaskan secara terperinci apakah bidang atau perkara yang akan kita laksanakan untuk tahun yang pertama hingga ke tahun kelima iaitu hingga berakhirnya tempoh kita mentadbir negeri Melaka.

"Kita harap dalam tempoh itu Melaka dan rakyatnya akan menikmati lebih banyak kemajuan dan pembangunan dalam semua bidang baik dalam soal ekonomi, sosial, pendidikan serta meliputi industri kecil dan sederhana (IKS).

Ujar beliau, dengan pengalaman yang dimiliki pimpinan parti itu termasuk beliau dan Abdul Hadi yang pernah bergelar Menteri Besar, mereka boleh membantu ADUN dan kerajaan Melaka yang bakal dibentuk.

Katanya, ia agar kerajaan negeri Melaka dapat dibentuk dengan cara pentadbiran yang telus, teratur dan tersusun seperti yang dikehendaki rakyat Melaka.