Polis KL kutip RM231,000 saman

Azmi Abu Kasim ketika berucap pada program hari bertemu pelanggan polis Kuala Lumpur di pusat beli belah Publika.
Azmi Abu Kasim ketika berucap pada program hari bertemu pelanggan polis Kuala Lumpur di pusat beli belah Publika.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Kuala Lumpur berjaya mengutip RM231,000 bayaran saman trafik sempena program hari bertemu pelanggan di pusat beli belah Publika, Dutamas di sini pada Khamis.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kasim berkata, jumlah kutipan tersebut membabitkan 1,899 kesalahan trafik yang dijelaskan dalam program berkenaan.

"Saya percaya kaedah sebegini akan dekatkan kita pada masyarakat dan dapat memahami apa yang mereka mahu daripada agensi kerajaan.

"Program sebegini akan diteruskan di Kuala Lumpur dan berharap turut diadakan di daerah lain dengan tujuan sama," katanya dalam sidang akhbar di The Square, Publika pada Khamis.

Hadir sama dalam program berkenaan adalah, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman dan ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, tujuan utama program berkenaan adalah untuk membuka ruang kepada orang ramai memberikan maklum balas berhubung kualiti sistem penyampaian perkhidmatan polis di Kuala Lumpur khususnya.

Tambah beliau, selain diskaun saman trafik, pihak polis turut memberi peluang orang ramai berinteraksi bersama anggota polis menerusi pameran kelengkapan, senjata dan barang kes dari beberapa jabatan terlibat.

"Program ini diharap dapat mempromosikan konsep 'Community Policing' iaitu masyarakat berganding bahu dengan polis dalam usaha mencegah dan memerangi jenayah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya, inisiatif tersebut juga diharap dapat mengurangkan kadar ketakutan masyarakat terhadap jenayah dengan kehadiran polis dalam kalangan masyarakat.

"Polis Kuala Lumpur akan terus mengadakan program seperti ini dalam usaha menurunkan kadar jenayah di samping memberikan kesedaran kepada masyarakat bagi mengelak menjadi mangsa jenayah," katanya.