X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Menanti manifesto dan calon Ketua Menteri PN

Muhyiddin - Foto fail Bernama
A
A

MENJELANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November depan, parti-parti politik mula memperhebatkan kempen dan menawarkan aku janji serta manifesto untuk menambat hati rakyat.

Walaupun berdepan dengan kekangan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dari Suruhanjaya Pilihan Raya, parti-parti politik menggunakan pelbagai kaedah bagi memastikan segala informasi berkaitan sampai kepada rakyat.

Barisan Nasional (BN) misalnya, menggunakan kaedah secara maya bagi menyampaikan Manifesto BN melalui Facebook rasmi parti itu.

Pengarah Pilihan Raya BN bagi PRN Melaka, Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan lima teras utama manifesto parti itu yang merangkumi kestabilan politik, lonjakan ekonomi baharu, kecekapan tadbir urus, masyarakat bersatu padu dan pembangunan mapan serta perkongsian kemakmuran.

Bermotokan ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’, manifesto itu merangkumi 103 inisiatif bersifat inklusif dan realis, berdasarkan keperluan rakyat.

Antara manifesto yang menarik perhatian ialah janji BN untuk meminda perlembagaan negeri Melaka bagi tujuan melantik lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tambahan termasuk daripada kalangan belia dan badan bukan kerajaan (NGO) di Melaka.

Selain itu, mereka turut berjanji untuk menyediakan peruntukan kepada semua ADUN termasuk ADUN bukan kerajaan sebagai langkah memastikan kemakmuran kepada seluruh rakyat negeri Melaka tanpa mengira latar belakang politik masing-masing.

Sama seperti BN, Pakatan Harapan (PH) turut membuat pengumuman manifestonya pada Rabu dengan menggariskan 32 inisiatif merangkumi aspek kesihatan, kebajikan, ekonomi, usahawan dan negeri serta reformasi pentadbiran kerajaan Melaka.

Bertemakan 'Pelan Tindakan - Maju Bersama Harapan', antara aku janji PH untuk rakyat Melaka adalah penggubalan enakmen Anti Lompat Parti bagi menjamin kestabilan negeri.

Selain itu, PH juga akan mengiktiraf kedudukan ketua pembangkang setaraf Exco kerajaan negeri, selain akan memberikan hak peruntukan tahunan setara kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tanpa mengira parti.

Kedua-dua parti itu juga sepakat untuk memilih calon tunggal parti masing-masing sebagai calon Ketua Menteri iaitu Datuk Seri Sulaiman Md Ali bagi BN dan Adly Zahari bagi PH sekiranya mereka memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Kedua-duanya adalah bekas Ketua Menteri dan mempunyai aura yang tersendiri untuk menawan hati orang Melaka.

Sekarang ini, hanya tinggal pasukan Abah, iaitu Perikatan Nasional (PN) yang belum mengumumkan manifesto dan calon Ketua Menteri.

Pastinya, ramai yang ternanti-nanti apa aku janji dan manifesto yang akan ditawarkan, dan sudah tentu calon Ketua Menteri yang akan memimpin Melaka seandainya PN berjaya memenangi PRN Melaka nanti.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!