Dua sekolah terjejas diarah tutup hingga Ahad

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Penutupan Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Pasir Putih, Pasir Gudang yang terjejas akibat pencemaran bahan kimia dilanjutkan satu hari lagi.

Perkara itu menyaksikan kedua-dua sekolah berkenaan dijangka akan dibuka pada Isnin berbanding Ahad seperti dimaklumkan Kementerian Pendidikan sebelum ini.

Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Azman Adnan berkata, lanjutan itu bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan sepenuhnya dibuat oleh pihak sekolah sebelum ia dibuka semula bagi tujuan pembelajaran.

“Adalah dimaklumkan bahawa satu Mesyuarat Khas Jawatankuasa Bantuan Bencana Tumpahan Sisa Kimia Di Sungai Kim Kim Pasir Gudang telah diadakan pada hari ini.

“Berdasarkan maklum balas, semua pihak telah bersetuju untuk mensyorkan kedua-dua sekolah ini ditutup esok (Ahad) dan dibuka semula Isnin,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Azman berkata, makluman tersebut juga telah disampaikan kepada warga sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang untuk tindakan susulan.

“Jabatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua jabatan dan agensi terlibat, ibu bapa dan seluruh masyarakat yang telah membantu menangani isu bencana yang melibatkan dua sekolah ini,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching memaklumkan dua sekolah berkenaan telah diarahkan tutup selama tiga hari sehingga hari ini sebagai langkah keselamatan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, katanya, akan berlaku lanjutan tempoh penutupan sekiranya keadaan di kawasan itu masih mendatangkan kemudaratan kepada pelajar dan warga sekolah.

ARTIKEL BERKAITAN

Dua sekolah diarah tutup

Pencemaran bahan kimia: Mangsa 79 orang, tiada kes baharu