CGC jamin sediakan RM10 bilion untuk PMKS

Gambar hiasan. - Foto Bernama
Gambar hiasan. - Foto Bernama
A
A
A

CREDIT Guarantee Corporation Bhd (CGC) yakin komitmennya untuk menyediakan jaminan sehingga RM10 bilion bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas akibat pandemik Covid-19 mampu dicapai menjelang Disember depan.

Pengerusi CGC, Datuk Mohammed Hussein berkata, sejak pembukaan semula fasa perniagaan pada 16 Ogos lepas, banyak pelanggannya sedang memasuki fasa pemulihan.

Beliau bagaimanapun menyedari realitinya masih banyak PMKS yang berhadapan kesukaran untuk menyambung semula perniagaan termasuk menyesuaikan diri dengan normal baharu, katanya.

Kemungkinan juga ada sesetengah perniagaan mungkin terpaksa gulung tikar.

"Dalam melangkah ke hadapan di bawah Pelan Pemulihan Negara, sektor pertumbuhan baharu bagi PMKS akan muncul.

"Untuk menyokong ini, sebagai komponen strategik dalam ekosistem PMKS, CGC sedar bahawa kita perlu meningkatkan kemahiran diri bagi menyediakan operasi agar cabaran dan peluang baharu ini ditangani," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah PKS & Institusi Kewangan/Institusi Pembangunan Kewangan (FI/DFI) Ke-26 yang diadakan secara maya pada Rabu.

Pelan Strategik lima tahun CGC 2021 hingga 2025 kini memberi tumpuan kepada bagaimana ia boleh menjadi rakan kongsi yang lebih berkesan dan pemangkin pertumbuhan PMKS dalam kitaran perniagaan mereka.

"Satu jurang kemahiran tertentu yang kita dan mungkin beberapa FI perlu terokai adalah berkaitan dengan ekonomi gig, kalau boleh kita perlu menyokong ekonomi gig ini, sama ada dari segi menilai cadangan baharu atau dalam penstrukturan produk kewangan kita untuk memenuhi keperluan mereka.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun sesetengah FI adalah lebih maju dalam keluk pembelajaran berbanding yang lain, saya fikir adalah adil untuk menyatakan bahawa masih ada beberapa pembaharuan yang perlu dibuat, memandangkan pada masa hadapan, ekonomi gig akan menjadi sektor pertumbuhan utama, terutamanya bagi usahawan muda,'' katanya.

Mohammed berkata, jurang kemahiran dalam ekonomi gig perlu ditangani atau negara akan kerugian jika usahawan-usahawan ini berhijrah selepas merasakan mereka tidak dapat memperoleh pembiayaan kerana sektor kewangan tempatan tidak memahami sepenuhnya nilai keuntungan dalam ekonomi gig.

Anugerah yang telah dimulakan pada 1995 itu bertujuan mengiktiraf pelanggan PMKS yang cemerlang yang telah mempamerkan rekod prestasi kredit termasuk kejayaan perniagaan selain untuk menghargai FI serta rakan strategik mereka atas peranan penting dan sumbangan mereka terhadap pembiayaan serta pembangunan PMKS.

Antara penerima Anugerah Merdeka adalah Asp Jaya Legacy dari Kuantan, Pahang, Duogo Sdn Bhd dari Kuala Lumpur dan Hemisphere Sdn Bhd dari Kuching, Sarawak.

Pada Anugerah FI, Maybank Islamic Bhd menjadi antara pemenang terbesar, merangkul pengiktirafan sebagai Rakan Kewangan Terbaik 2020 dan Rakan Fi Terbaik - Kategori Bumiputera serta mendapat tempat kedua bagi Rakan Kongsi FI Terbaik - Kategori Bank Islam. -Bernama