Langgar SOP: Polis akan panggil Ab Rauf, Idris

Pengerusi UMNO Melaka, Ab Rauf Yusoh didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Isnin.
Pengerusi UMNO Melaka, Ab Rauf Yusoh didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis akan memanggil tiga calon Pakatan Harapan (PH) dan dua calon Barisan Nasional (BN) berhubung dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Isnin.

Timbalan Ketua Polis Melaka Razali Abu Samah berkata, antara yang akan dipanggil ialah Pengerusi UMNO Melaka, Ab Rauf Yusoh, bekas Ketua Menteri yang juga calon daripada PKR, Idris Haron serta tiga lagi calon bertanding pada PRN tersebut.

Menurutnya, polis membuka lima kertas siasatan setakat ini selepas penyokong calon terbabit didakwa berkumpul untuk menunjukkan sokongan berhampiran pusat penamaan calon.

"Kita membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 untuk kes Tanjung Bidara.

"Empat lagi kertas siasatan dibuka di DUN lain di bawah seksyen sama iaitu di Kuala Linggi (PH dan BN), Kota laksamana (PH), Telok mas (PH) dan Selandar (PH).

"Semua calon akan dipanggil untuk direkodkan kenyataan bagi membantu siasatan," katanya seperti dipetik laporan Malaysiakini.

Beliau berkata, maklumat pelanggaran SOP itu didakwa berlaku di pusat penamaan calon di Tanjung Bidara (BN), Kuala Linggi (Pakatan Harapan dan BN), Kota Laksamana (Pakatan Harapan), Telok Mas (Pakatan Harapan) dan Asahan (Pakatan Harapan).

Rauf dan Idris masing-masing bertanding di kerusi Tanjung Bidara dan Asahan manakala calon lain yang sedang dalam penelitian ialah Julasapiyah Kassim (PH) dan Rosli Abdullah dari BN yang bertanding kerusi Kuala Linggi dan Ashraf Minghat (Telok Mas).

Artikel Berkaitan:

Pihak berkuasa telah melarang sebarang perhimpunan pada hari penamaan calon sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko penularan virus Covid-19 dan calon hanya dibenarkan datang dengan seorang pencadang dan seorang penyokong untuk pencalonan.

Seksyen 269 Kanun Keseksaan menetapkan kesalahan berhubung tindakan yang boleh menyebabkan penularan penyakit berbahaya yang boleh dihukum penjara enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali.

Peraturan pencegahan penyakit berjangkit pula memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.

Pada Selasa, calon PH Kota Laksamana Low Chee Leong (DAP) telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah untuk memberi keterangan berhubung dakwaan melanggar SOP.

Bagaimanapun, Chee Leong menafikan melakukan sebarang kesalahan sebaliknya membangkitkan mengenai rombongan BN yang mengiringi Rauf ke pusat penamaan calon.