'Jangan anggap barang 'bundle' tiada nilai'

Sebagai peniaga bundle, Azlamy Afiq amat menitikberatkan kualiti dan penjagaan barang-barang bundle ini supaya ia tidak dijual dalam keadaan yang rosak kepada pelanggan.
Sebagai peniaga bundle, Azlamy Afiq amat menitikberatkan kualiti dan penjagaan barang-barang bundle ini supaya ia tidak dijual dalam keadaan yang rosak kepada pelanggan.
A
A
A

"JANGAN anggap barang 'bundle' tiada nilainya," demikian luahan Azlamy Afiq Shafie, 30, usahawan bundle (longgokan) yang lebih 10 tahun berkecimpung dalam dunia perniagaan ini secara dalam talian ketika masih menuntut di universiti.

Azlamy Afiq atau lebih dikenali 'Lammy' dalam kalangan rakan-rakannya berkata, beliau menangkis persepsi negatif segelintir masyarakat yang menganggap barangan dan pakaian bundle adalah kotor dan buruk.

Sebaliknya, katanya, sebagai peniaga bundle beliau amat menitikberatkan kualiti dan penjagaan barang-barang bundle ini supaya ia tidak dijual dalam keadaan yang rosak kepada pelanggan.

"Sebelum saya jual barang-barang bundle seperti baju dan seluar, saya akan basuh terlebih dahulu supaya tidak ada sebarang kekotoran atau habuk yang melekat pada pakaian ini.

"Saya akan meneliti satu persatu dan setiap helaian pakaian ini, jika ada yang rosak, warnanya lusuh dan tidak sesuai digunakan, saya tidak akan menjualnya kepada pelanggan," katanya ketika ditemui Bernama di sini baru-baru ini.

Anak kelahiran Tanah Merah itu juga tidak menyangka berkat kesabaran dan usahanya dalam perniagaan bundle secara dalam talian selama ini, beliau mampu memiliki sebuah kedai bundle 'Lammy Bundle’ di Kubang Kerian di sini sejak awal tahun ini.

Bagi Azlamy Afiq, walaupun barangan bundle ini adalah 'rejected' (barangan yang ditolak) atau 'second hand' (barangan terpakai) namun ia sebenarnya ia masih mempunyai nilai harga yang berbeza-beza bergantung kepada jenama dan kualiti barangan dan pakaian tersebut.

"Hari ini kita lihat ramai anak muda telah mula menceburi perniagaan ini sebab keuntungan yang diperoleh amat lumayan kerana pelanggan atau penggemar bundle ini tidak tertumpu kepada golongan tertentu sahaja.

Artikel Berkaitan:

"Malah, keuntungan saya jual bundle ini pernah mencecah RM5,000 sebulan, hanya menjualnya secara dalam talian dan bagi saya ini adalah pencapaian yang membanggakan kerana modal yang dikeluarkan tidaklah terlalu banyak," katanya mengakui pakaian bundle tetap mempunyai pasarannya tersendiri.

Bercerita lanjut, Azlamy Afiq berkata, walaupun negara masih berdepan penularan wabak Covid-19, semangatnya dalam perniagaan bundle tidak pernah pudar dan ia sebenarnya memberi motivasi kepadanya untuk terus berniaga meskipun ramai rakan-rakannya yang berniaga barangan bundle telah berputus asa.

"Saya masih aktif berniaga secara dalam talian selain menyertai mana-mana aktiviti atau penganjuran yang membabitkan jualan perniagaan untuk saya tambah lagi pendapatan," katanya.

Pada masa sama beliau turut mengajak golongan muda khususnya siswazah menganggur supaya menceburui bidang perniagaan bundle sementara menunggu pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan dimiliki.

"Saya mahu mengubah persepsi segelintir siswazah, usah tunggu untuk mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan dimiliki sebaliknya, cipta sendiri peluang pekerjaan berdasarkan pengetahuan-pengetahuan ketika mengikuti pengajian di universiti," katanya mengakhiri perbualan. - Bernama