Op Benteng: 16,229 PATI ditangkap dalam tempoh 18 bulan

Ikmal Hisham ketika Sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen pada Rabu. - Foto Bernama
Ikmal Hisham ketika Sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan melalui National Task Force (NTF) berjaya menangkap 16,229 pendatang tanpa izin (PATI) serta mengusir 3,666 PATI yang cuba membolosi sempadan daratan negara dan perairan negara secara haram sejak Op Benteng dilaksanakan pada Mei 2020 sehingga 31 Oktober lalu.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, operasi itu turut berjaya mengekang aktiviti penyeludupan di persempadanan negara dengan anggaran nilai rampasan bernilai RM668.47 juta.

Jelasnya, nilai yang diperoleh itu melibatkan rampasan barangan seperti bahan-bahan terlarang, kenderaan dan barangan peribadi.

“Pengoperasian Op Benteng melibatkan kawasan operasi di sempadan daratan negara yang meliputi utara Semenanjung Malaysia dan sempadan daratan Sarawak-Kalimantan.

“Bagi operasi di kawasan perairan pula ia melibatkan perairan Selat Melaka Utara, perairan Pantai Barat Semenanjung, perairan Johor dan pesisir Pantai Timur Sabah,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahmad Tarmizi Sulaiman (Pas-Sik) yang meminta kementeriannya menyatakan keberkesanan pertahanan negara bagi operasi NTF melalui Op Benteng di kawasan sempadan negara Laut China Selatan termasuk pulau-pulau berdekatan kerana ancaman pencerobohan yang kerap oleh kapal negara luar.

Mengulas lanjut, Ikmal berkata, pelaksanaan Op Benteng melibatkan kerjasama pelbagai agensi keselamatan dan penguatkuasaan negara seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan lain-lain agensi kerajaan.

Tambahnya, objektif utama pelaksanaan operasi ini adalah untuk menghalang kemasukan PATI bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, inisiatif ini dapat mengukuhkan lagi kawalan keselamatan di persempadanan negara sama ada sempadan darat mahupun sempadan perairan negara.

“Bagi memastikan Op Benteng ini berkesan, pihak Kementerian Pertahanan akan terus memperkukuhkan untuk menambahbaik keupayaan ATM melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK 12) serta meneruskan peruntukan belanjawan tahunan kepada operasi ini pada tahun hadapan.