ATM siap sedia hadapi musim tengkujuh

Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Tan Sri Affendi Buang berucap pada Majlis Perasmian Bengkel Kerjaya Kedua anjuran Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM dengan kerjasama Perkeso di sebuah hotel pada Selasa. - Foto Bernama
Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Tan Sri Affendi Buang berucap pada Majlis Perasmian Bengkel Kerjaya Kedua anjuran Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM dengan kerjasama Perkeso di sebuah hotel pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketiga-tiga perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diarahkan bersiap sedia untuk menghadapi musim tengkujuh ini termasuk dari segi penggunaan segala aset.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, ketiga-tiga cabang ATM iaitu tentera darat, udara dan laut ketika ini berada dalam mod siap siaga.

Beliau berkata, ini selaras dengan arahan yang dikeluarkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bahawa pasukan keselamatan sentiasa dalam keadaan bersedia bagi menghadapi dan memberikan bantuan ketika bencana banjir berlaku.

"Maknanya ATM sentiasa bersedia (untuk memberikan khidmat dan bantuan) sekiranya berlaku sesuatu bencana di mana-mana tempat... dan bagi pihak ATM, untuk tindakan menangani bencana negara atau keadaan banjir ini, kami sudah bersedia," katanya.

Affendi berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Bengkel Peluang Kerjaya Kedua anjuran bersama Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di sini yang turut dihadiri Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad.

Beliau berkata, bengkel itu, yang disertai veteran ATM, merupakan antara usaha dalam memastikan peluang kerjaya kedua bagi mengangkat martabat golongan berkenaan sebagai perwira negara.

"Bengkel ini juga amat signifikan kepada Keluarga Malaysia Veteran ATM memandangkan input dan pembelajaran dalam bengkel ini bakal membantu peserta berdepan dengan majikan baharu dan dunia awam," katanya.

Affendi berkata, setakat ini, Keluarga Malaysia Veteran ATM yang berdaftar dengan JHEV ATM ialah 204,020 dan daripada jumlah itu, seramai 73,863 orang bersara tanpa pencen.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, secara purata, lebih 5,000 warga ATM akan bersara setiap tahun dengan 63 peratus dalam lingkungan usia bawah 50 tahun iaitu kelompok yang masih produktif dan mampu menyumbang kepada ekonomi negara.

“Lebih 47,000 majikan telah berdaftar dengan Perkeso, manakala lebih 740,000 jawatan kosong turut ditawarkan menerusi portal Myfuturejobs,” katanya.

Affendi berharap veteran ATM yang memohon kerja menerusi portal itu mendapat tawaran selayaknya berbekalkan kemahiran dan pengalaman mereka serta gaji lebih menarik berbanding pemohon lain. - Bernama