Program SAVE diteruskan tahun depan: Takiyuddin

Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan
A
A
A

PUTRAJAYA - Program Sustainability Achieved via Energy Efficiency (SAVE) akan diteruskan tahun depan dengan pemberian rebat sebanyak RM200 bagi pembelian peralatan elektrik cekap tenaga bertaraf empat dan lima bintang, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata, program yang dimulakan sejak 2011 itu kini turut menggalakkan pengguna untuk membeli peralatan elektrik buatan tempatan atau yang dikilangkan di Malaysia dan mendapat persijilan SIRIM atau setara dengannya.

Sehingga 30 September lepas, katanya sebanyak 1,157 pekedai dan peruncit di seluruh negara telah mendaftar untuk menyertai program SAVE dan 90,835 pengguna telah memohon penebusan e-rebat tersebut.

“Saya harap program ini dapat memberikan kesedaran kepada pihak industri dan pengguna untuk mengutamakan produk elektrik yang selamat dan cekap tenaga,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis Penganugerahan Product Safety Award (PSA) 2021 anjuran Suruhanjaya Tenaga (ST) di sini hari pada Selasa.

Takiyuddin berkata, program SAVE yang dirancang untuk dilaksanakan secara berterusan itu adalah di bawah seliaan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli manakala Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) dilantik sebagai agensi pelaksana.

"Selain menawarkan rebat kepada pengguna, program SAVE juga mampu meningkatkan tahap keselamatan kelengkapan elektrik sekali gus menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara pascapandemik Covid-19," katanya.

Mengenai PSA 2021 yang julung kali diadakan itu, Takiyuddin berkata, pengiktirafan tersebut bertujuan untuk memastikan pemain industri mengeluarkan atau mengimport peralatan elektrik yang memenuhi ciri-ciri keselamatan seperti ditetapkan ST bagi menjamin keselamatan pengguna.

Sebanyak tiga kategori dipertandingkan menerusi PSA 2021 iaitu pengilang, pengimport dan anugerah khas institusi bertauliah ST dengan hadiah utama yang ditawarkan adalah RM10,000.

Artikel Berkaitan:

Syarikat Eco Breeze Technologies (M) Sdn Bhd, Panasonic Malaysia Sdn Bhd dan Institut Kemahiran Mara Lumut muncul sebagai pemenang utama bagi kategori yang dipertandingkan. - Bernama