KPM sedia bantuan sokongan psikologi kepada guru, murid

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyediakan bantuan sokongan psikologi yang meliputi kaunseling individu, kelompok dan sesi konsultasi kepada guru, bukan guru serta murid bagi menangani kes gangguan kesihatan mental dalam menghadapi fasa pemulihan pasca pandemik Covid-19.

Timbalan Menteri I, Senator Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, perkhidmatan bantuan sokongan itu dilakukan oleh kaunselor pendidikan serta guru bimbingan dan kaunseling yang profesional membabitkan jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah dan semua institusi pendidikan KPM.

Menurutnya, perkhidmatan tersebut dijalankan secara bersemuka dan dalam talian.

“KPM sentiasa prihatin dan peka dengan keadaan yang boleh mendatangkan gangguan kesihatan mental guru serta murid akibat pandemik Covid-19.

“Justeru, dalam hal ini, KPM telah menyediakan beberapa langkah strategik untuk warga guru, bukan guru dan murid khususnya dalam perkhidmatan bantuan sokongan psikologi dan khidmat pencegahan, pembangunan, pemulihan serta intervensi," katanya ketika waktu Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (Pas-Tumpat) yang mahu kementeriannya menyatakan langkah strategik jangka panjang diambil bagi menghadapi peningkatan kes-kes gangguan kesihatan mental dalam menghadapi fasa pemulihan pasca Covid-19.

Hang Soon berkata, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, bagi warga KPM yang memerlukan intervensi selanjutnya, kaunselor pendidikan akan mencadangkan agar mereka mendapat rawatan perubatan di klinik kesihatan atau hospital.

“Bagi murid yang memerlukan intervensi selanjutnya pula, guru bimbingan dan kaunseling akan memberikan konsultasi kepada ibu bapa atau penjaga supaya membawa anak mereka mendapatkan rawatan daripada pegawai perubatan di klinik kesihatan ataupun dari hospital,” katanya.

Artikel Berkaitan: