AS buka pintu kepada pengembara antarabangsa

Amerika Syarikat (AS) pada Isnin membuka pintunya kepada pengembara antarabangsa yang telah divaksin.(Gambar hiasan) - Foto 123rf
Amerika Syarikat (AS) pada Isnin membuka pintunya kepada pengembara antarabangsa yang telah divaksin.(Gambar hiasan) - Foto 123rf
A
A
A

NEW YORK - Selepas hampir 20 bulan menutup pintu kepada pengembara dari luar negara, Amerika Syarikat (AS) pada Isnin membuka pintunya kepada pengembara antarabangsa yang telah divaksin.

Langkah itu dilihat melegakan industri pelancong dan keluarga yang terpisah akibat sekatan Covid-19 yang dikenakan sebelum ini, lapor Xinhua.

Ketibaan penerbangan antarabangsa dijangka meningkat 11 peratus pada Isnin berbanding hari yang sama pada Oktober di lapangan terbang antarabangsa Newark Liberty dan John F. Kennedy, dengan 253 penerbangan dijadualkan mendarat, menurut Pihak Berkuasa Pelabuhan New York dan New Jersey.

Eksekutif syarikat penerbangan berkata tempahan tiket meningkat sejak pentadbiran Joe Biden mengumumkan akan menarik balik sekatan itu.

"Saham United Airlines, Delta Air Lines dan American Airlines masing-masing meningkat lebih satu peratus dalam dagangan pagi. Syarikat-syarikat penerbangan itu banyak menyediakan perkhidmatan dalam laluan antarabangsa dan berpeluang mendapat manfaat daripada pembukaan semula perjalanan ke AS," lapor CNBC.

Sekatan itu, dilaksanakan oleh bekas Presiden AS Donald Trump pada awal 2020 dan dilanjutkan oleh Presiden Joe Biden awal tahun ini. Ia melarang pelawat dari 33 negara, termasuk Britain, sebahagian besar Eropah, China, Brazil dan Afrika Selatan.

Pelawat kini boleh terbang ke AS dengan bukti vaksinasi penuh Covid-19 dalam bentuk sijil kertas, foto dokumen atau versi digital. Terdapat pengecualian untuk pengembara di bawah umur 18 tahun dan penumpang dari negara yang mempunyai ketersediaan vaksin yang rendah.

Hanya vaksin yang diluluskan atau dibenarkan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan dan yang disenaraikan untuk digunakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia: Johnson & Johnson, Pfizer/BioNTech, Moderna, AstraZeneca, Covishield, Sinopharm dan Sinovac diterima.

Artikel Berkaitan:

AS juga memerlukan bukti ujian negatif Covid-19 dalam tempoh tiga hari sebelum ketibaan untuk pengembara yang divaksin dan diwajibkan untuk semua ketibaan sejak Januari termasuk warga AS.

Jika pengembara belum divaksin, ujian Covid-19 mestilah diambil dalam masa satu hari sebelum berlepas. - Bernama