PRN Melaka: SOP ketat beri kesan kepada sektor perhotelan

SOP yang ketat dan norma baharu dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka memberi kesan pada sektor perhotelan di negeri itu. - Gambar hiasan
SOP yang ketat dan norma baharu dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka memberi kesan pada sektor perhotelan di negeri itu. - Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat dan norma baharu dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka memberi kesan pada sektor perhotelan di negeri itu apabila kadar tempahan bilik menjelang PRN pada 20 November ini, masih rendah.

Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Melaka Khairulnizam Kasim berkata 73 hotel bertaraf tiga bintang dan ke atas dengan jumlah bilik lebih 10,000 yang bernaung di bawah persatuan itu hanya menerima sekitar 40 hingga 50 peratus tempahan, setakat ini.

"Tempahan bilik hotel sepanjang tempoh PRN Melaka masih rendah berbanding pada Pilihan Raya Umum sebelum ini. Dahulu, seminggu sebelum minggu pencalonan, kebanyakan hotel di bawah MAH Melaka telah penuh kerana ramai penyokong dari luar membantu berkempen,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, kebanyakan hotel berkenaan menerima tempahan daripada pegawai petugas PRN Melaka yang terdiri daripada kakitangan kerajaan dan mereka akan mendaftar masuk secara berperingkat.

Situasi sama turut dihadapi 176 hotel bajet yang berdaftar di bawah Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) Melaka yang menyaksikan kadar tempahan bilik sepanjang tempoh PRN hanya sekitar 45 hingga 50 peratus daripada lebih 3,000 bilik yang ada.

Pengerusi MyBHA Sazali Sabri bagaimanapun berkata kadar tempahan itu dijangka meningkat sekurang-kurangnya 10 peratus menjelang minggu pengundian kerana pengunjung kebanyakan terdiri daripada pengundi yang akan pulang ke Melaka untuk menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

"Kita memang mengharapkan tempahan bilik meningkat pada musim PRN kali ini tetapi sebaliknya disebabkan kita masih berada dalam fasa pandemik penularan Covid-19 dan pelbagai SOP yang perlu dipatuhi untuk mengekang penularan wabak berkenaan," katanya.

Beliau berkata, banyak juga pembatalan tempahan bilik dibuat pada saat-saat akhir kerana SOP ketat yang ditetapkan termasuk larangan untuk berceramah, berkumpul dan berkempen secara fizikal.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai SOP Covid-19 yang dilaksanakan hotel berkenaan, beliau berkata pihak pengurusan hotel di bawah MyBHA patuh pada SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mengelak penularan jangkitan agar operasi hotel dapat terus beroperasi.

"Hanya pengunjung yang telah melengkapkan dos vaksin dan tempoh vaksin telah matang diterima masuk ke hotel selain operasi pembersihan bilik dan sanitasi secara berkala dilakukan dengan mengikuti langkah yang disarankan," katanya.- Bernama

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my