UMNO, Pas jadi Taliban itu fitnah lama: Nik Abduh

Nik Abduh berucap pada majlis berkenaan.
Nik Abduh berucap pada majlis berkenaan.
A
A
A

KUALA KANGSAR - "Ia hanyalah fitnah lama yang diulang semula." Itu reaksi Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berhubung kenyataan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming bahawa Malaysia akan menjadi seperti Afghanistan yang dikuasai Taliban jika Kerajaan UMNO serta Pas berjaya membentuk kerajaan dan memerintah negara ini.

Menurut Nik Mohamad Abduh, Pas sudah lama dituduh sebagai parti yang keras dan akan memerintah dengan cara hukum Islam yang dilihat keras seperti yang berlaku di negara-negara luar.

Bagaimanapun menurut Nik Mohamad Abduh, pihaknya yakin tuduhan berkenaan tidak akan diterima oleh masyarakat kerana Pas telah membuktikan sejak puluhan tahun pemerintahannya bahawa parti berkenaan tidak pernah menindas mana-mana kaum sebagaimana yang didakwa.

"Kalau Pas melakukan penindasan sudah pasti Kelantan tidak akan jadi negeri contoh kepada negeri lain yang dilihat sebagai inspirasi untuk menukar kerajaan UMNO.

"Malah kebangkitan di Pulau Pinang dan Perak pada 2008 pun adalah inspirasi daripada kekuatan pembangkang di Kelantan.

"Oleh itu, fitnah lama ini diulang balik dan bagi saya ia adalah sesuatu yang agak jauh, apatah lagi kita telah menang di Terengganu yang jadi contoh kedua bagi menambah rakyat bahawa Pas mampu untuk ke Putrajaya menggantikan kerajaan UMNO dan PH kepada pemerintahan yg lebih baik, lebih berintegriti, Isya-ALLAH, " katanya.

Nik Abduh berkata demikian pada sidang media sempena Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda Pas Kawasan Kuala Kangsar di Safari Resort Kuala Kangsar, pagi tadi.

Sementara itu Nik Mohamad Abduh menyifatkan kerjasama Pas dan UMNO dilihat sebagai 'benda' yang paling besar dalam landskap politik negara pada hari ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kerjasama ini sudah lama dinantikan umat Islam di negara ini yang mahu lihat kejayaan yang terhasil daripada kerjasama yang erat antara umat Islam sendiri.

"Saya nak sebut ada tiga benda besar dalam politik negara kita hari ini, ikut tertib urutan. Ketiga, PH memerintah selepas PRU14, yang kedua UMNO kalah dalam sejarah sejak lepas kemerdekaan dan kekalahan UMNO itu lebih besar daripada kemenangan PH.

"Yang paling besar adalah kerjasama Pas dengan UMNO yang dah lama dinantikan umat Islam di negara ini.

"Tak ramai yang perjuangkannya kecuali doa dan harapan umat Islam kerana ia perkara baharu yang dimulakan melalui secara rasmi mesyuarat Jawatankuasa Khas Kerjasama UMNO Pas baru-baru ini. Kita harap agar ia adalah langkah yg berkat dan berakhir dengan kejayaan," katanya.