X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 17 Januari 2022

Dadah: Pemandu ambulans, penghantar makanan ditahan

Mustafa (kanan) menunjukkan dadah yang dirampas dalam Ops Sarang yang dijalankan pada tengah malam hingga petang Isnin.
A
A

GEORGE TOWN - Pemandu ambulans dan penghantar makanan antara 62 individu ditahan dalam Ops Sarang yang dijalankan pada awal pagi hingga petang Isnin di sekitar negeri ini.

Antara kawasan yang digempur ialah Sungai Nibong, Bandar Baru Air Itam; Pulau Tikus, Tanjung Tokong dan sekitar bandar ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, pemandu ambulans yang berusia 53 tahun dan penghantar makanan berusia 39 tahun itu ditahan di parkir bas kilang di Paya Terubong.

Menurut beliau, kedua-duanya ditahan ketika sedang membeli bekalan daripada seorang pembekal dadah yang turut ditahan dalam operasi sama.

"Operasi bermula pada jam 12.30 tengah malam sehingga 3 petang Isnin dengan jumlah tangkapan 62 orang termasuk tiga wanita. Selain itu, daripada jumlah itu, lapan adalah tokan jalanan.

"Kesemua yang ditahan berusia dalam lingkungan antara 21 hingga 60 tahun dan kebanyakan mereka telah ditahan lebih daripada sekali," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini pada Isnin.

Beliau menjelaskan, polis merampas 400.38 gram heroin, 16.68 gram syabu dan 0.67 gram ketamin bernilai RM15,770.

"Dalam operasi ini, terdapat insiden mengejar dan pergelutan antara suspek dan polis di dua lokasi iaitu Paya Terubong dan Batu Ferringhi. Bagaimanapun, mereka berjaya ditahan tanpa kejadian tidak diingini.

"Daripada kesemua yang ditahan itu, lapan tangkapan melibatkan pembekal, 27 tangkapan kerana memiliki dadah dan 27 lagi kerana positif dadah (penagih)," katanya.

Mustafa berkata, dalam 27 Ops Sarang yang dijalankan sejak Januari hingga Isnin bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) itu, pihaknya berjaya menahan 480 penagih dadah tegar.

"Bagi operasi pencegahan penyalahgunaan dadah yang lain, kita menahan 6,597 orang iaitu 1,723 pembekal dadah, 3,594 memiliki dadah dan penagih tegar, 1,280.

"Kesemua ini ditahan sejak awal tahun ini sehingga Isnin. Kita akan sentiasa menjalankan operasi ini secara berterusan untuk menghapuskan dan membersihkan kawasan berisiko tinggi daripada aktiviti penyalahgunaan dadah," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!