Tiga bot rekreasi ditahan atas pelbagai kesalahan

Antara bot yang ditahan Maritim dalam satu operasi khas pada 4 November hingga 7 November lalu. Foto Ihsan Maritim.
Antara bot yang ditahan Maritim dalam satu operasi khas pada 4 November hingga 7 November lalu. Foto Ihsan Maritim.
A
A
A

PORT DICKSON - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan telah menahan tiga bot rekreasi atas pelbagai kesalahan di perairan Pengkalan Balak Melaka dan Telok Kemang di sini.

Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, bot berkenaan ditahan dalam operasi khas pada 4 November hingga 7 November lalu.

"Operasi itu dilaksanakan bagi memantau dan memastikan pengusaha bot rekreasi mengikut peraturan ditetapkan serta sentiasa mengutamakan keselamatan pengguna bagi mengelakkan kemalangan dan kejadian tidak diingini.

"Hasil pemantauan dan pemeriksaan sepanjang cuti perayaan Deepavali dan hujung minggu lalu, pasukan operasi telah menahan dua bot di perairan Telok Kemang dan sebuah lagi ditahan di perairan Pengkalan Balak," katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Isnin.

Menurutnya, penahanan dibuat ketika mereka sedang menjalankan aktiviti menunda bot pisang.

Katanya, kesemua bot telah ditahan atas pelbagai kesalahan antaranya bot tidak mempunyai lesen, sijil kompentenan jurumudi telah tamat tempoh, kru bot rekreasi di bawah umur dan peralatan keselamatan seperti alat pemadam api serta boya keselamatan tidak mencukupi.

"Bot berkenaan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952," katanya.

Artikel Berkaitan: