'Bukan pertandingan siapa popular'

Calon-calon DUN N2 Tanjung Bidara (dari kiri) Zainal Hassan dari PH, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dari PN dan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dari BN bergambar di Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Negeri Melaka di Bangunan JAPERUN Tanjung Bidara pada Isnin. - Foto Bernama
Calon-calon DUN N2 Tanjung Bidara (dari kiri) Zainal Hassan dari PH, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dari PN dan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dari BN bergambar di Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Negeri Melaka di Bangunan JAPERUN Tanjung Bidara pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

ALOR GAJAH - [DIKEMAS KINI] Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyifatkan persaingan sengit di kerusi berkenaan bukanlah pertandingan individu untuk menunjukkan siapa lebih popular.

Ab Rauf yang juga Pengerusi UMNO Melaka sebaliknya berkata, ia merupakan pertandingan parti yang berbeza ideologi.

Menurut beliau, pertandingan tiga penjuru itu memperlihatkan kepada pengundi bagaimana sebuah parti yang boleh melestarikan rakyat dalam kepimpinannya di peringkat pengurusan kerajaan negeri.

"Kita melihat bahawa terbukti peluang telah diberi kepada parti yang telah mengurus tadbir selama 22 bulan.

"Kita juga melihat bahawa selama 18 bulan Barisan Nasional (BN) telah menunjukkan kematangan dalam menguruskan rakyat negeri Melaka sepanjang tempoh tersebut," katanya pada sidang akhbar di kediamannya di Kampung Pulau di sini pada Isnin.

Hadir sama ialah Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Kerusi DUN Tanjung Bidara akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru pada PRN Melaka kali ini.

Ab Rauf akan dicabar calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Mas Ermieyati Samsuddin dan calon Pakatan Harapan (PH), Zainal Hassan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ab Rauf yang juga bekas Speaker DUN Melaka berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sewajarnya memperhalusi dan memperincikan semula prosedur operasi (SOP) lebih jelas.

Beliau berkata, ia untuk memastikan kesemua parti yang bertanding dapat mengikuti arahan itu sepanjang tempoh berkempen, sekali gus menggelakkan daripada dikenakan sebarang tindakan kompaun.

Ab Rauf berkata, dalam suasana normal baharu bermula dari sesi penamaan calon hingga berakhirnya hari pengundian, beliau mahu melihat satu dimensi baharu dalam landskap politik tanah air.

"Jadi, saya meminta kepada semua agensi yang terlibat dalam mengawal selia negeri Melaka, lebih baik memberikan satu SOP yang lebih jelas, apa yang boleh dan apa tidak boleh.

"Memandangkan Melaka sudah masuk ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN), rakyat sudah bebas berjalan. Jadi kaedah untuk memberi peluang kepada parti-parti politik untuk berkempen mesti jelas," ujar beliau.

Ketika ditanya sama ada beliau dapat mengekalkan kubu kuat BN itu atau sebaliknya, Ab Rauf berkata, data politik selepas merdeka sehingga kini menyaksikan DUN tersebut belum pernah dirampas oleh mana-mana parti lain.

Malah, katanya, BN di negeri ini memperoleh undi majoriti tertinggi di DUN Tanjung Bidara pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Kepercayaan rakyat terhadap perkhidmatan yang diberikan oleh BN itu kita dapat merealisasikan dalam pengurusan pentadbiran yang selama ini telah diberikan kepada rakyat," kata beliau.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my