Gesa siasatan segera ke atas Guan Eng

Pemuda UMNO Pendang bersama Ketua Penerangan UMNO Kedah membuat laporan polis di hadapan Ibu Pejabat Polis Pendang.
Pemuda UMNO Pendang bersama Ketua Penerangan UMNO Kedah membuat laporan polis di hadapan Ibu Pejabat Polis Pendang.
A
A
A

PENDANG - Kenyataan berbaur provokasi dikeluarkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang mengatakan UMNO dan Pas telah mengisytiharkan perang kepada masyarakat bukan Melayu disifatkan biadab dan rasis serta tidak bertanggungjawab.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pendang Fadzil Zolkipli berkata, kenyataan menteri itu dilihat mampu menggugat keharmonian dan perpaduan negara.

Katanya, ia juga boleh menimbulkan rasa benci dan tidak senang pelbagai lapisan masyarakat di negara ini.

Fadzil berkata, sikap Guan Eng itu jelas mencerminkan dirinya yang iri hati terhadap kerjasama antara UMNO dan Pas ini.

"Beliau seperti kurang senang melihat hubungan baik yang semakin kukuh di antara dua parti Melayu dan Islam terbesar ini," katanya.

Fadzil berkata, kenyataan sebegini juga boleh menimbulkan rasa kurang senang dan membangkitkan rasa takut serta kebencian kaum bukan Melayu dan bukan Islam terhadap kaum Melayu dan Islam di negara ini.

"Saya membuat laporan polis ini bagi memastikan beliau disiasat segera di bawah akta hasutan kerana menghasut kebencian antara agama dan kaum," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Pendang, hari ini.

Turut hadir membuat laporan polis bagi isu sama ialah Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Suraya Yaacob yang juga merupakan ADUN Sungai Tiang.

Artikel Berkaitan: