Pusat penamaan PRN Melaka ditutup jam 10 pagi

Anggota polis berkawal di hadapan Pusat Penamaan Calon di Dewan Bestari Ayer Keroh hari ini. - Foto Bernama
Anggota polis berkawal di hadapan Pusat Penamaan Calon di Dewan Bestari Ayer Keroh hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Kesemua 28 pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ditutup pada jam 10 pagi ini.

Proses penamaan calon yang bermula jam 9 pagi berlangsung dalam suasana norma baharu, tanpa perarakan penyokong yang mengiringi calon sehingga ke pusat penamaan.

Kebenaran hanya diberikan kepada calon, pencadang dan penyokong calon atau mana-mana dua orang daripada mereka, atau mana-mana seorang daripada mereka untuk masuk ke dalam pusat penamaan bagi mengemukakan kertas penamaan calon.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh akan mengadakan sidang akhbar berhubung proses penamaan calon di Menara Persekutuan di sini pada jam 11 pagi ini.

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November, ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lepas, susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan ketua menteri.

Melaka yang mempunyai 28 kawasan DUN, memiliki seramai 495,196 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57 peratus pengundi adalah lelaki dan baki 254,666 atau 51.43 peratus, wanita. - Bernama

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my

Artikel Berkaitan: