Bayi meninggal dunia selepas diambil dari pusat asuhan

Meor Ikram (kiri) mengiringi jenazah anaknya untuk dibawa pulang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Changkat Larang, hari ini.
Meor Ikram (kiri) mengiringi jenazah anaknya untuk dibawa pulang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Changkat Larang, hari ini.
A
A
A

IPOH - Seorang bayi lelaki berusia empat bulan meninggal dunia selepas diambil dari sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Bandar Seri Botani, di sini, semalam.

Muhammad Aakif Iskandar Meor Ikram didapati berada dalam keadaan lemah oleh kedua ibu bapanya kira-kira jam 6 petang.

Bapa bayi, Meor Ikram Addnan, 32, berkata, melihat keadaan itu, mereka membawa anak ketiganya mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) sebelum disahkan meninggal dunia.

“Pagi itu kami hantar dalam keadaan sihat sahaja, tiada masalah melainkan dia ada selesema sedikit. Malah, dia tidak demam pun.

“Apabila kami dalam perjalanan untuk mengambilnya, pengasuh ada hubungi kami memaklumkan keadaan anak lembik ketika itu,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, hari ini.

Menurutnya, mangsa baru sebulan dihantar ke pusat asuhan berkenaan bersama abangnya yang berusia 17 bulan.

“Kami sempat bertanyakan kepada pengasuh bagaimana boleh jadi begini, tetapi kami tidak menerima sebarang jawapan.

“Kalau anak kami sakit, kami tidak akan hantarnya ke pusat asuhan. Apa-apa pun, kami menunggu hasil bedah siasat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mazuki Mat mengesahkan kejadian itu.