Taman kereta mini RC aras bumbung terbesar di Malaysia

Penganjur dan peserta yang terlibat pada Majlis Pembukaan SACC Mall RC Park aras bumbung yang pertama dan terbesar di Malaysia.
Penganjur dan peserta yang terlibat pada Majlis Pembukaan SACC Mall RC Park aras bumbung yang pertama dan terbesar di Malaysia.
A
A
A

SHAH ALAM - Taman kereta mini kawalan radio (RC) SACC Mall atau SACC Mall RC Park aras bumbung yang pertama dan terbesar di Malaysia serta ketiga terbesar di Asia dibuka di SACC Mall di sini pada Ahad.

Majlis perasmian Taman RC itu disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah PKNS (PREC), Ahmad Feruz yang turut merasmikan pertandingan Tamiya RC Car Challenge; Catch My Speed?

Pertandingan anjuran RC Planet itu menyaksikan lebih 80 buah kereta mini kawalan jauh atau RC berjenama Tamiya yang dikawal oleh pemiliknya 'beraksi' dengan 'kehebatan' masing-masing.

Penganjur dan juga Pengarah RC Planet, Suah Kim Heng berharap peluang terbuka itu dapat dikongsikan dengan lebih ramai lagi peminat kereta mini RC yang mungkin memiliki hobi yang sama.

PKNS Real Estate mewakili SACC Mall yang berkolaboratif dengan RC Planet dalam menyediakan Taman RC itu pula menyifatkan inisiatif tersebut bersesuaian dengan keadaan semasa.

Pertandingan anjuran RC Planet menyaksikan lebih 80 buah kereta mini RC beraksi di SACC Mall RC Park, Shah Alam pada Ahad.
Pertandingan anjuran RC Planet menyaksikan lebih 80 buah kereta mini RC beraksi di SACC Mall RC Park, Shah Alam pada Ahad.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Real Estate, Fakru Radzi Ab Ghani berkata, SACC Mall RC Park bertempat di aras bumbung tingkat lima SACC Mall, bersebelahan dengan kawasan parkir terbuka itu juga dilihat sejajar dengan usaha kerajaan dalam mempromosikan aktiviti sukan luar kerana ia berkonsepkan ‘outdoor’.

“Kami percaya aktiviti permotoran RC akan menjadi aktiviti luar yang hebat kerana ia menepati semua generasi terutamanya golongan muda. Pemilihan Insomniacks ​​sebagai artis undangan hari ini amat bertepatan dan secara eksklusifnya, Insomniacks turut diberi peluang 'merasai' trek ini.

Artikel Berkaitan:

"Pembukaan ini juga antara inisiatif bersama dalam menghidupkan semula industri peruncitan selain menyediakan pengalaman membeli-belah terbaik kepada pelanggan SACC Mall dan PKNS Shah Alam," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Pelbagai aktiviti diadakan bermula jam 10 pagi sehingga 6 petang termasuk persembahan daripada kumpulan Insomniacks ​​yang bakal melancarkan lagu baharu berjudul Sempurna.

Majlis penutup pula menyaksikan penyerahan cenderahati kepada jemputan kehormat dan diikuti dengan penyerahan baucar beli-belah Bazaarlokal berjumlah RM500 kepada Insomniacks.