Penyamun acu parang di leher sebelum larikan barang kemas

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

AMPANG - Sebuah keluarga berdepan detik cemas apabila rumah mereka di Taman Muda di sini dipecah masuk dua lelaki bersenjatakan parang pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian pada jam 6 pagi itu, mangsa berusia 60 tahun sedang tidur bersama dua anaknya di dalam bilik.

Menurutnya, mangsa kemudian terjaga apabila terdengar bunyi bising lalu turun ke tingkat bawah dan menemui isterinya dalam ketakutan.

"Isteri mangsa memaklumkan rumah mereka telah dimasuki dua lelaki, sebelum melarikan diri.

"Suspek juga bertindak meletakkan parang di leher isteri mangsa sebelum melarikan beberapa barang kemas untuk sembahyang dan barang peribadi wanita itu," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, modus operandi suspek disyaki memasuki rumah mangsa dengan cara merosakkan gril tingkap belakang dan bertindak samun.

"Mangsa cuba mengesan suspek di sekitar kawasan itu sebelum terserempak dengan sebuah kereta polis (MPV) yang sedang menjalankan rondaan," katanya.

Mohamad Farouk berkata, hasil maklumat, pihaknya berjaya memberkas dua suspek berkenaan pada jam 6.50 pagi.

Artikel Berkaitan:

"Pihak polis merampas tiga utas rantai leher (untuk sembahyang) berwarna merah, kuning dan hitam, sebuah telefon bimbit jenis Vivo milik mangsa, satu lampu suluh kecil dan satu unit alat sembahyang berwarna perak.

"Kita turut merampas pelbagai peralatan pecah rumah antaranya pemutar skru dan sepana yang dipercayai ditinggalkan suspek di lokasi kejadian," katanya.

Beliau berkata, dua suspek berusia 30 dan 31 tahun itu tidak bekerja.

"Hasil semakan mendapati salah seorang daripada suspek mempunyai 38 rekod lampau dan satu rekod dikehendaki oleh Polis Kontinjen Johor bersabit kes pecah rumah.

"Hasil saringan air kencing yang dijalankan ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine," katanya.

Katanya, kedua dua suspek akan direman pada Isnin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.