X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

Pencalonan bekas ADUN UMNO tidak timbulkan kemarahan penyokong PH

Datuk Mahfuz Omar
A
A

SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (Amanah) tidak melihat pencalonan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka daripada UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan menimbulkan kemarahan penyokong Pakatan Harapan (PH).

Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata, ini kerana dua bekas ADUN ini dilihat mempunyai prinsip yang tidak boleh menerima tatakelola pentadbiran kerajaan yang tidak baik.

“Sebab itu mereka menyatakan kehilangan kepercayaan kepada (bekas) Ketua Menteri Melaka. Mereka bukan orang yang membuat pengkhianatan secara membabi buta,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkata demikian merujuk kepada bekas ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan dan bekas ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron.

Empat ADUN kerajaan menarik sokongan kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada 4 Oktober lalu.

Selain Idris dan Nor Azman, turut menarik sokongan adalah bekas ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas).

Mahfuz berkata, disebabkan mahu menyelamatkan Melaka, dua bekas ADUN daripada UMNO itu dipecat oleh parti.

“Mereka adalah orang yang menyelamatkan Melaka daripada terus diperlakukan secara sewenang-wenangnya oleh (bekas) Ketua Menteri dan juga kerajaan Melaka pada waktu itu,” katanya.

Beliau dalam masa yang sama turut menjelaskan sebab dua bekas ADUN yang lain itu tidak dipilih untuk dicalonkan.

“Kita tidak menerima yang dua lagi kerana mereka telah menghancurkan dan mengkhianati mandat rakyat yang memilih PH.

“Sekarang, dua orang yang kita terima daripada UMNO ini bagi saya nak memberi peluang untuk PH kembali. Ini satu benda yang baik,” jelasnya.

Mengulas isu sama, Ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah, Faiz Fadzil turut berpendapat bahawa bekas ADUN UMNO yang dicalonkan dalam PRN Melaka tidak boleh disamakan dengan tindakan beberapa pimpinan dalam PH dahulu.

“Terutama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang telah mengkhianati PH sehingga tumbangnya kerajaan 22 bulan di Melaka dan di Putrajaya. PH harus lebih matang untuk menerima mana-mana pimpinan atau ahli daripada parti lawan yang mahu bersama dengan kita.

“Inilah konsep khemah besar yang mahu dibina PH. Apa yang berlaku pada awal Oktober lalu adalah proses untuk mengembalikan mandat rakyat yang telah dirampas sebelum ini.

“Jadi, persoalan pengkhianatan oleh kedua-dua ADUN ini tidak timbul,” katanya.

Menurut beliau, PH telah mempunyai kekuatan akar umbi tersendiri dan sokongan rakyat juga kuat.

“Bagaimanapun, kemasukan dua ADUN UMNO ini mampu memberikan nilai tambah kepada PH terutama pengaruh dalam kalangan pengundi Melayu.

“Sejarah politik negara menunjukkan kekuatan pembangkang selama ini ditambah dengan penyertaan bekas-bekas pimpinan UMNO seperti yang berlaku pada tahun 90, 99 dan 2018,” jelasnya.

Faiz turut yakin bahawa penyokong PH matang dalam politik untuk menerima keputusan dan langkah yang diambil ini.

“Saya juga yakin PH akan mengambil langkah-langkah perlu untuk memastikan tiada mana-mana ADUN yang menang kelak tidak melompat parti,” tegasnya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!