PRN Melaka: PDRM tubuh pasukan bersepadu

Datuk Abdul Majid Mohd Ali
Datuk Abdul Majid Mohd Ali
A
A
A
MELAKA - [DIKEMAS KINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menubuhkan satu pasukan khas iaitu pasukan bersepadu (integrated team) yang terdiri daripada PDRM, pihak berkuasa tempatan (PBT), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, penubuhan pasukan tersebut bertujuan memastikan tiada mana-mana individu yang melanggar Akta 342 sewaktu pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Hanya di Melaka kita tubuhkan pasukan bersepadu ini, sebelum ini tidak ada. Ini kerana Melaka ketika ini berada dalam Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Justeru, saya berharap calon-calon yang akan membuat penamaan calon esok (Isnin) supaya tidak membawa penyokong masing-masing.

“Tindakan tegas akan diambil jika mendapati terdapat perhimpunan, perarakan ataupun sebarang aktiviti yang melanggar peraturan di bawah Akta 342 ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di sini pada Ahad.
Artikel Berkaitan:


Mengulas mengenai dakwaan penutupan sempadan negeri Melaka, beliau berkata, perkara itu tidak benar sama sekali, namun sekatan jalan raya (SJR) akan diadakan mengikut keperluan.

“Ingin saya tegaskan tiada penutupan sempadan negeri diadakan. Maknanya pergerakan keluar dan masuk seperti biasa. Tiada apa-apa cadangan untuk tutup sempadan negeri sebagaimana yang ditularkan sebelum ini.

“Bagaimanapun, kita akan letak SJR berdasarkan penilaian keselamatan. SJR adalah untuk pencegahan jenayah bukan untuk PRN. Itu pun jika penilaian keselamatan mengatakan perlu. Jika tidak perlu kita tak letak,” jelasnya.