Kos sewaan Vellfire lebih rendah berbanding Proton Perdana: MOF

Kenderaan rasmi untuk Menteri Kabinet Malaysia ditukar kepada Toyota Vellfire 2.5 sejak April 2021. - Foto Toyota
Kenderaan rasmi untuk Menteri Kabinet Malaysia ditukar kepada Toyota Vellfire 2.5 sejak April 2021. - Foto Toyota
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan kerajaan supaya Toyota Vellfire 2.5L digunakan sebagai Kenderaan Rasmi Jawatan (KRJ) dibuat berdasarkan kos sewaan bulanan kenderaan tersebut yang lebih rendah berbanding Proton Perdana 2.4 Premium.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan, kos sewaan bulanan bagi Proton Perdana 2.4 Premium adalah RM4,854.41 manakala Vellfire 2.5 pula berjumlah RM4,851.61.

Selain itu, keputusan itu juga diambil bagi menggantikan model Proton Perdana 2.4 Premium yang telah ditamatkan pengeluarannya pada tahun 2014.

“Cadangan penggantian kereta Proton Perdana kepada kenderaan lain seperti Vellfire sebenarnya telah dipertimbangkan semasa pentadbiran kerajaan terdahulu tetapi ditangguhkan dan hanya dilaksanakan pada tahun ini.

“Untuk makluman, usia KRJ bagi jemaah menteri sebelum penggantian pada tahun ini ada yang mencecah enam tahun.

“Sedangkan tempoh penggantian KRJ sebenarnya dijadualkan setiap empat tahun sekali,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mendedahkan kenderaan rasmi untuk Menteri Kabinet Malaysia telah ditukar daripada Proton Perdana 2.4 Premium kepada Toyota Vellfire 2.5 sejak April 2021.

Bagaimanapun, pertukaran kenderaan rasmi tersebut telah menimbulkan kontroversi dalam kalangan netizen di media sosial.

Artikel Berkaitan: