Lapan calon Pas dalam PRN Melaka lafaz baiah

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Lapan calon Pas yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka meneruskan tradisi lafaz sumpah taat setia atau baiah untuk tidak keluar parti sekiranya menang dalam pilihan raya itu.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, lafaz baiah diteruskan bagi memastikan semua calon istiqamah dalam perjuangan bersama parti walaupun berdepan pelbagai tekanan.

"Semua calon Pas baiah kepada parti iaitu istiqamah tidak akan keluar dan meninggalkan parti sekiranya mereka menang.

"Pas konsisten menentang agenda lompat parti. Tidak seperti Pakatan Harapan (PH) yang kononnya menentang agenda lompat parti namun terima calon yang keluar parti untuk bertanding di Melaka," katanya ketika sidang media pada Muktamar Pas ke-67 di sini, pada Ahad.

Menurut Tuan Ibrahim, rakyat Melaka boleh menilai keadaan sebenar susulan pergolakan politik yang berlaku sehingga menyebabkan pembubaran kerajaan negeri pada 5 Oktober lalu.

"Masalah di Melaka berpunca daripada mereka yang lompat parti. Jadi, rakyat Melaka boleh tengok dan boleh nilai orang yang membawa masalah kepada mereka yang tiba-tiba diterima sebagai calon dalam pilihan raya," katanya.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim sekali lagi mengulangi pendirian bahawa keputusan Barisan Nasional (BN) bertanding semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka tidak menjejaskan Muafakat Nasional (MN).

Pada masa sama beliau turut menyangkal andaian bahawa keadaan itu akan menyebabkan keretakan hubungan antara Pas dan UMNO dalam MN.

Artikel Berkaitan:

"Tiada siapa akan keluar daripada MN kecuali jika ia dibubarkan namun sehingga setakat ini tiada wujudnya niat untuk bubarkan MN.

"MN membawa agenda lebih besar iaitu penyatuan ummah kerana ia bukan parti berdaftar, sebaliknya merupakan parti gabungan yang diharap dapat kembali kepada perjuangan asal," katanya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, keputusan PRN Melaka bakal menjadi sebahagian daripada kayu pengukur untuk berdepan siri pilihan raya akan datang.

"Bergantung pada keputusan pilihan raya, saya fikir banyak pihak mahu lihat keputusan di Melaka ni sebagai indikator.

"Pas sebagai komponen dalam Perikatan Nasional (PN) dan saya yakin keputusan PRN Melaka akan menjadi sebahagian perancangan masa depan," katanya.

Pas menampilkan lapan calon dalam PRN Melaka pada 20 November ini iaitu Aziah Mohd Sa'ad (Kuala Linggi), Bakri Jamaluddin (Kelebang), Muhammad Al Afiz Yahya (Bukit Katil), Abu Hashim Abdul Samad (Taboh Naning), Datuk Kamarudin Sedik (Duyong), Ja'afar Othman (Durian Tunggal), Ahmad Bilal Rahaudin (Serkam) dan Abd Alim Shapie (Merlimau).