Keputusan PH calonkan Idris, Nor Azman atas dasar 'pengorbanan': Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) mempertahankan tindakan mencalonkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan sebagai calon gabungan parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat atas dasar melihat pengorbanan Idris dan Nor Azman menarik sokongan terhadap UMNO untuk membolehkan PH yang mendapat mandat dalam pilihan raya umum lalu kembali berkuasa.

Malah, beliau turut menempelak pihak yang menyifatkan Idris, Nor Azman dan dua lagi ADUN yang menarik sokongan terhadap bekas kerajaan negeri Melaka sebagai pengkhianat dan 'katak' lompat parti.

"Keempat-empat ADUN itu tidak mengkhianati amanah kepada rakyat, malah mereka berbincang bersama PH Melaka dengan sikap yang jelas untuk mengembalikan mandat yang dirampas sebelum ini. Itu yang disampaikan kepada pimpinan Majlis Presiden PH.

"Walaupun kita ada keberatan dan saya sendiri setuju ada banyak persoalan untuk mencalonkan mereka. Tetapi selepas itu, apabila Idris umpamanya dipanggil oleh Presiden UMNO yang meminta satu bentuk kompromi, namun beliau (Idris) tegas dan menyatakan sikap tidak boleh terima kepimpinan yang menyeleweng, rasuah dan mahu bersama PH.

"Ia sesuatu yang pada penilaian kawan-kawan dalam PH adalah sesuatu yang agak meyakinkan," katanya dalam satu video yang dimuat naik dalam facebook miliknya pada Ahad.

Pada Sabtu, PH telah mencalonkan Idris untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan manakala Nor Azman di Pantai Kundor.

Sebelum ini, empat ADUN terdiri daripada Idris, Nor Azman, Datuk Noor Effandi Ahmad dan Datuk Norhizam Hassan Baktee menarik sokongan kepada bekas kerajaan negeri Melaka sehingga menyebabkan PRN terpaksa diadakan di negeri tersebut.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Anwar turut menegaskan ramai ahli dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) layak untuk menjadi calon, namun beliau mengambil sikap berbeza pada kali ini.

"Ada orang tanya tiada yang lebih layak dalam PKR untuk menjadi calon? Banyak yang lebih layak, tapi saya tidak ambil sikap begitu kerana kita lihat pengorbanan, kesediaan (Idris dan Nor Azman) dan mereka konsisten tidak berganjak selepas mengambil keputusan itu.

"Saya juga memberikan mesej kepada rakyat, bahawa kita tidak memusuhi ahli biasa UMNO atau Pas. Kita memusuhi kezaliman, penyalahgunaan kuasa dan penindasan. Itu yang kita musuhi yang diterajui oleh pemimpin UMNO," katanya.