APM Sik selamatkan keluarga terperangkap banjir

Skuad APM Sik menjalankan kerja-kerja menyelamat keluarga yang terperangkap dalam banjir di Kampung Jerai pada Sabtu.
Skuad APM Sik menjalankan kerja-kerja menyelamat keluarga yang terperangkap dalam banjir di Kampung Jerai pada Sabtu.
A
A
A

SIK - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sik berjaya menyelamatkan sebuah keluarga yang terperangkap dalam kejadian banjir di Kampung Jerai dalam satu operasi menyelamat pada Sabtu.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sik, Lefthenan (PA) Haisul Aishah Mohd Napiah berkata, keluarga terbabit berjaya dikeluarkan dari kediaman mereka pada jam 10.01 malam oleh anggota yang bertugas.

Beliau berkata, skuad APM Sik sebelum itu sedang membuat pemantauan banjir di kawasan sekitar sebelum dimaklumkan mengenai keadaan keluarga berkenaan.

"Kesemua mangsa yang terdiri daripada seorang wanita warga emas, seorang wanita dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan bayi kemudiannya ditempatkan di rumah saudara mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Haisul Aishah berkata, kejadian banjir di Mukim Sik dilaporkan berlaku di beberapa lokasi dan keadaannya masih terkawal.

"Antara kawasan terlibat adalah Bendang Man, Kampung Seberang Pekan Sik, Kampung Jerai, Telaga Batu, Kampung Tanjung, Kampung Belimbing, Kampung Lubuk Tualang, Kampung Banggol Kiat, Kampung Namek Tua dan Belakang Market Sik," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Ketua Bahagian Sekretariat APM Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata, setakat jam 12 tengah hari pada Ahad, sebanyak 10 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka melibatkan lima daerah iaitu Pendang, Pokok Sena, Kota Setar, Kubang Pasu dan Sik.

"Di Sik, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sik yang dibuka pada jam 10 malam menempatkan 17 mangsa dari empat buah keluarga manakala PPS SK Chepir yang dibuka pada jam 10.30 malam pula ditutup pada jam 12 tengah hari kerana banjir telah surut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, setakat ini jumlah mangsa banjir di Kedah menunjukkan penurunan daripada 840 orang pada jam 8 pagi kepada 821 orang pada jam 12 tengah hari.