Lelaki hilang sejak Jumaat ditemui mati

A
A
A
BEAUFORT - Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu ditemui mati selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kampung Saga-Saga Pimping, Membakut, di sini pada awal pagi Ahad.

Dalam kejadian jam 6.50 pagi itu, mayat R Kamlayswaran, 50, ditemui orang awam selepas dipercayai lemas akibat terhumban ke dalam parit di tepi jalan berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Beaufort, Asisten Superintendan Dublin Patrick Rudes berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam yang memaklumkan penemuan mayat mangsa.

Beliau berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave dipercayai dalam perjalanan ke arah Kuala Penyu sebelum disyaki hilang kawalan dan terbabas ke dalam parit.

"Mangsa disyaki meninggal dunia di lokasi akibat lemas berdasarkan keadaannya di dalam parit berkenaan manakala motosikalnya yang turut di temui di lokasi terbabit dan tidak mengalami sebarang kerosakan.

"Keadaan fizikal serta pakaian mangsa yang digambarkan dalam laporan polis dibuat oleh ahli keluarga tentang kehilangan mangsa pada 5 November lalu adalah sepadan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Dublin berkata, setakat ini tiada sebarang unsur khianat atau jenayah yang ditemui namun siasatan lanjut masih diteruskan.

"Mangsa juga tidak disyaki menunggang motosikal di bawah pengaruh dadah atau alkohol.

“Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Beaufort untuk proses bedah siasat selepas keputusan ujian Covid-19 diterima dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Artikel Berkaitan:
Artikel Disyorkan