KOPA Group masih tunggu jawapan PAFA

Perak FC mengesahkan syarikat Kopa Arena berminat untuk menaja The Bos Gaurus bagi mengharungi saingan Liga Premier 2022.
Perak FC mengesahkan syarikat Kopa Arena berminat untuk menaja The Bos Gaurus bagi mengharungi saingan Liga Premier 2022.
A
A
A

SYARIKAT KOPA Group masih menantikan jawapan daripada pihak Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), berhubung hasrat syarikat berkenaan untuk mengambil alih 51 peratus pegangan saham Perak FC daripada Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).

Menurut satu ciapan di Twitter, wakil syarikat berkenaan, Farouk Hashim memberikan penjelasan kepada penyokong Perak FC berhubung status pembelian saham Perak FC.

Bagaimanapun menurut ciapan berkenaan, perbincangan berkenaan ‘tergantung’ apabila pihak PAFA mengemukakan ‘cadangan tambahan’ daripada persetujuan awal dan ia termasuk tambahan wang token kepada PAFA, selain berlaku perubahan liabiliti yang lebih tinggi dari jumlah sebelum ini.

“Pada 12 September 2021, pihak KOPA melalui anak syarikatnya secara rasmi menghantar surat tunjuk minat kepada PAFA dan disertakan dengan bukti kemampuan kewangan. Kemudian pada 17 September 2021, pihak KOPA menghantar surat susulan untuk proses mengambil alih dengan memohon kebenaran untuk melakukan proses ‘due diligence’ dan selanjutnya.

“Malah, pihak KOPA juga telah memberikan ‘komitmen’ awalan dalam bentuk tunai kepada pihak Perak FC dalam membantu operasi pasukan. Pada 12 Oktober 2021, telah berlaku pertukaran Setiausaha PAFA yang baharu, oleh itu satu perbincangan telah diadakan untuk meneruskan proses pengambilalihan ini.

“Pihak KOPA mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perbincangan sehingga masa yang lebih sesuai, malah sehingga kini pihak PAFA masih belum menyatakan nilai dan liabiliti Perak FC yang lebih jelas,” katanya menerusi ciapan berkenaan.

Pada 15 September lalu, Perak FC mengesahkan syarikat Kopa Arena yang terkenal dalam pengurusan sukan bola sepak termasuk aspek latihan dan padang berminat untuk menaja The Bos Gaurus bagi mengharungi saingan Liga Premier 2022.

Perkara itu ditegaskan oleh Pengurus Besar Perak FC, Azman Noh berikutan syarikat berkenaan telah menghantar surat permohonan secara rasmi kepada PAFA dan perbincangan lanjut akan diadakan dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

Pada 31 Ogos lalu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed turut menjelaskan bahawa, Perak FC telah mengadakan perbincangan dengan sebuah syarikat korporat tempatan pada Julai namun masih belum memuktamadkan sebarang keputusan.

Selain itu difahamkan, skuad The Bos Gaurus memerlukan lebih RM10 juta secara keseluruhannya, merangkumi aspek gaji, logistik dan pelbagai urusan lain untuk memastikan kelancaran bagi mengharungi liga musim 2022.

Skuad The Bos Gaurus tersingkir ke Liga Premier 2022 selepas menduduki tangga kedua tercorot daripada 12 pasukan bertanding dalam Liga Super musim ini.