Dua lagi PPS dibuka di Kedah

Sebahagian penduduk di Jalan Kuala Kedah keluar dari kawasan perumahan mereka selepas kediaman mereka dinaiki air pada awal pagi tadi berikutan berlakunya fenomena air pasang besar. - Foto Bernama
Sebahagian penduduk di Jalan Kuala Kedah keluar dari kawasan perumahan mereka selepas kediaman mereka dinaiki air pada awal pagi tadi berikutan berlakunya fenomena air pasang besar. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Kedah menjadikan 12 PPS beroperasi setakat 8 pagi Ahad bagi menempatkan 840 mangsa banjir daripada 227 keluarga di lima daerah negeri itu.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusof berkata, dua PPS di daerah Sik itu melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Sik yang menempatkan dua orang daripada satu keluarga dan SK Chepir dengan lima mangsa daripada satu keluarga.

Beliau berkata, seramai 543 orang ditempatkan di enam PPS di daerah Kota Setar, 281 orang di dua PPS di daerah Pendang, lima mangsa di sebuah PPS di daerah Kubang Pasu dan empat mangsa di sebuah PPS di daerah Pokok Sena.

Di PERAK, seramai 72 orang daripada 22 keluarga masih ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Panchor, Beruas di daerah Manjung yang dibuka sejak Jumaat selepas kediaman mereka dinaiki air akibat fenomena air pasang besar.

Dalam pada itu, Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Hilir Perak berkata, fenomena air pasang besar berlaku kira-kira 4.30 pagi Ahad menyebabkan air melimpah di beberapa kawasan pesisir Sungai Perak di Teluk Intan.

Bagaimanapun, menurutnya, tiada mangsa yang dipindahkan dan air telah mulai surut selepas 7 pagi.

Sebahagian kawasan letak kereta di hadapan Terminal Penumpang Kuala Kedah dinaiki air pada awal pagi tadi berikutan berlaku fenomena air pasang besar ketika tinjauan di kawasan tersebut. - Foto Bernama
Sebahagian kawasan letak kereta di hadapan Terminal Penumpang Kuala Kedah dinaiki air pada awal pagi tadi berikutan berlaku fenomena air pasang besar ketika tinjauan di kawasan tersebut. - Foto Bernama

Di SELANGOR, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pemantauan terhadap fenomena air pasang besar dilakukan antara 6.15 hingga 8 pagi Ahad di beberapa kawasan termasuk Bagan Pasir, Pantai Sungai Kajang, Pekan Tanjong Karang, Pantai Remis dan Pantai Jeram.

Artikel Berkaitan:

“Terdapat limpahan air laut tetapi keadaan terkawal dan tiada pemindahan mangsa. Air mulai surut pada 7.40 pagi dan cuaca cerah,” katanya dalam kenyataan.

Di JOHOR, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyananthan berkata, PPS Balai Raya Kampung Muhibbah, Kota Tinggi di sini yang dibuka dua hari lepas bagi menempatkan lima orang daripada sebuah keluarga ditutup pada 9 pagi berikutan paras air surut sepenuhnya dan keadaan cuaca bertambah baik.

Pada 5 November, hujan lebat melebihi dua jam dan pertembungan air pasang di daerah itu telah menyebabkan kediaman penduduk di Kampung Baru Sungai Mas dan Kampung Muhibbah dinaiki air, sekali gus memaksa mereka mendapatkan perlindungan di dua PPS.

PPS Kampung Baru Sungai Mas, Kota Tinggi yang menempatkan 43 orang daripada lapan keluarga ditutup sepenuhnya 6 petang Sabtu. - Bernama