JPS laksana projek RTB selesaikan isu banjir

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Sekretariat Bencana Daerah Bagan Datuk mengenalpasti 21 kawasan di daerah itu yang berdepan risiko banjir akibat fenomena air pasang besar.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Sekretariat Bencana Daerah Bagan Datuk mengenalpasti 21 kawasan di daerah itu yang berdepan risiko banjir akibat fenomena air pasang besar.
A
A
A

IPOH - Masalah banjir yang sering melanda beberapa kawasan di Bagan Datuk dan Teluk Intan diatasi menerusi dua projek rancangan tebatan banjir (RTB) yang bakal dimulakan pada tahun 2023.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Perak, Ir Baharuddin Abdullah berkata, dua projek berkenaan meliputi kawasan Kampung Pasang Api, Bagan Datuk dan Kampung Batak Rabit di Teluk Intan.

Menurutnya, projek terbabit yang sedang dalam peringkat reka bentuk dan proses itu dijangka siap pada akhir tahun depan.

"Perancangan melaksanakan RTB ini merupakan inisiatif penyelesaian jangka panjang bagi mengurangkan masalah banjir yang berlaku di dua kawasan itu.

"Usaha JPS Perak untuk jangka masa pendek ialah dengan melakukan penyelenggaraan ban-ban pantai dan sungai yang rendah, mengorek pulih saliran serta membaik pulih rumah pam dan pintu air," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, selain dua projek tebatan itu, JPS turut melaksanakan RTB Sungai Bidor yang menumpu masalah banjir sering berlaku di Batu 7, 8, dan 9 di Changkat Jong.

"Kos keseluruhan bagi projek RTB Sungai Bidor ini dianggarkan berjumlah RM10 juta," jelas beliau.

Fenomena air pasang besar yang berlaku pada awal pagi Jumaat menyebabkan sebahagian Pekan Bagan Datuk digenangi air.

Artikel Berkaitan:

Keadaan sama turut mengakibatkan beberapa kawasan di pesisiran Sungai Perak di Teluk Intan dinaiki air iaitu Kampung Sungai Kerawai, Kampung Terengganu, Pekan Teluk Intan, Kampung Esso, Kampung Pisang Batak Rabit, Taman Maharani, Lorong Kalat Batak Rabit, Batu 6 Jalan Maharajalela dan Taman Muhibbah.

Dalam perkembangan sama, Baharuddin menasihatkan orang ramai terutama penduduk yang tinggal di kawasan pesisir pantai dan Sungai Perak supaya berjaga-jaga sepanjang tempoh fenomena air pasang besar ini.

Katanya, orang ramai turut dinasihatkan supaya sebarang pembinaan di kawasan pesisir pantai dan Sungai Perak dirujuk kepada JPS terlebih dahulu.

"Langkah ini bagi memastikan aras pembinaan yang hendak dibina berada di aras bebas banjir dan dapat mengelakkan daripada berlakunya kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Air pasang besar: 21 kawasan di Bagan Datuk berisiko banjir

ARTIKEL BERKAITAN: Air pasang besar: Teluk Intan mula banjir