Kombinasi tepat meremajakan semula UMNO

Mahdzir (dua dari kiri) menyampaikan sijil Anugerah Khidmat Cemerlang Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) kepada penerima di Kolej Mara Kuala Nerang pada Sabtu.
Mahdzir (dua dari kiri) menyampaikan sijil Anugerah Khidmat Cemerlang Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) kepada penerima di Kolej Mara Kuala Nerang pada Sabtu.
A
A
A

KUALA NERANG - Calon bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka disifatkan sebagai kombinasi yang tepat untuk meremajakan semula UMNO, namun masih terlalu awal untuk meletakkan sasaran jumlah kerusi yang dimenangi parti itu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kepelbagaian latar belakang calon yang dikemukakan pada PRN Melaka merupakan langkah yang baik terutama selepas Barisan Nasional (BN) memilih untuk bertanding secara solo.

Menurutnya, gandingan muka baharu dan lama itu diyakini dapat meneruskan tradisi pemerintahan di Melaka yang ditunjangi BN sebelum ini.

“Memberi peluang kepada orang muda untuk bertanding itu merupakan sebahagian daripada usaha untuk peremajaan parti. Muka baharu itu ada daripada golongan muda, muka-muka lama namun tidaklah usia yang tua sangat, selain ada yang tidak pernah bertanding sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Anugerah Khidmat Cemerlang (APC) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) peringkat negeri di Kolej Mara Kuala Nerang pada Sabtu.

Antara muka baharu yang ditampilkan pada PRN Melaka ialah Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Khaidhirah Abu Zahar atau lebih dikenali sebagai Dira.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Padang Terap itu yakin keputusan BN untuk bergerak secara solo pada PRN Melaka tidak akan menjejaskan hubungan antara Pas, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di peringkat Persekutuan.

“Semua pihak memahami keadaan dan itulah keputusan yang diputuskan di Melaka, namun di peringkat Persekutuan kita masih mempunyai hubungan atas nama kerajaan, bawah konsep Keluarga Malaysia,” katanya lagi.

Mahdzir berkata, persefahaman yang dicapai di peringkat Pusat itu dihormati setiap parti sama ada dalam Perikatan Nasional (PN) atau Muafakat Nasional (MN).

Artikel Berkaitan:

“Kalau turun padang ke PRN Melaka itu atas kapasiti parti, bukan kementerian atau sebagai menteri. Malah tiada program melibatkan kementerian diadakan ketika kempen di sana.

“Hubungan kerjasama sesama ahli Parlimen juga tiada masalah, kami boleh berada bersama dan keputusan pun dibuat secara bersama,” katanya.

Mengulas mengenai peluang BN yang bertanding di kesemua 28 kerusi DUN dengan 20 daripadanya ditandingi UMNO, manakala tujuh oleh MCA dan satu diwakili MIC, beliau optimis bakal melakar kejayaan walaupun pertandingan tiga penjuru tidak dapat dielakkan.

“Insya-ALLAH boleh gamit kemenangan pada 20 November depan. Secara tradisi Melaka ditadbir bawah kerajaan BN. Saya fikir PRN ini akan mengikut tradisi itu dan berpihak pada kerajaan BN,” katanya.